Sukan

Pemain, jurulatih mula lapor diri untuk latihan di ABM

PARA pemain badminton kebangsaan hari ini mula melaporkan diri di Akademi Badminton Malaysia (ABM) bagi menjalani latihan yang sebelum ini terhenti ekoran Covid-19.

Hari ini sebanyaj 64 pemain dan jurulatih pasukan senior melapor diri untuk sesi latihan tersebut termasuk 35 pemain simpanan.

Mereka akan menjalani kuarantin kendiri di bilik asrama masing-masing di ABM selama 24 jam sebelum kembali menjalani latihan setelah menjalani ujian COVID-19.

“Saya berharap dapat mengulangi apa yang kami lalui semasa Road to Tokyo (RTT), tetapi pada skala yang lebih besar serta semua dalam pasukan senior dapat kembali.

“Bagi pemain simpanan, mereka menjalani latihan dua minggu sebelumnya yang akan memberi kelebihan pendedahan awal dari segi kebiasaan dalam gerakan di gelanggang berbanding kumpulan RTT.

“Sasarannya untuk membawa mereka ke tahap sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Secara fizikal, ia akan mengambil masa tetapi kita menyesuaikan program agar mereka dapat meningkatkan aspek tertentu permainan yang boleh mereka fokuskan,” kata  Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann dalam satu kenyataan.

Sebelum itu 17 pemain termasuk lapan di bawah program RTT selesai mengikuti kem latihan selama 30 hari di bawah prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di ABM pada 30 Jun.

Choong Hann yakin sebulan adalah jangka masa yang baik untuk meningkatkan tahap prestasi pemain kepada sekurang-kurangnya 90 peratus.

“Kumpulan kedua pemain dan jurulatih akan menyertai latihan kumpulan elit tetapi kami menerapkan SOP jarak sosial yang ketat dengan jadual latihan disusun untuk mengawal jumlah atlet di gelanggang atau gim dalam satu masa.

“Walaupun SOP akan lebih longgar, tetapi dari segi pengawalan kendiri, kita akan menerapkan tahap keperluan yang sama dengan menumpukan kepada kebersihan dan kewaspadaan untuk memerangi COVID-19,” katanya.

Yang penting katanya, pemain bertanggungjawab serta mengikuti SOP dan garis panduan yang ditetapkan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button