Peluang PN untuk kuasai DUN Pangkor
PANGKOR 18 Nov. – Jentera Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor memperhebat gerak kerja mendekati pengundi untuk memastikan kemenangan calon PN, Norhaslinda Zakaria pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Gerak kerja kempen sepanjang minggu berkempen yang kini memasuki hari terakhir dilihat berjalan lancar.
Setakat ini, jentera kempen PN telah menggempur hampir 99 peratus kawasan dalam DUN Pangkor melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.
Calon PN DUN Pangkor, Norhaslinda Zakaria berkata, sepanjang tempoh berkempen pasukannya telah mendapat sambutan yang amat gembira daripada masyarakat Pangkor.
Beliau optimis jentera kempen akan selesai melawat serta bertemu pengundi di setiap lokasi-lokasi yang telah ditetapkan.
“Kami telah gempur seluruh DUN Pangkor termasuk di Lumut dengan mengadakan beberapa program dan aktiviti termasuk ceramah.
“Menjelang hari akhir ini kami berpuas hati dengan segala perancangan. Doa kami agar para pengundi di Pangkor dapat memberi mandat kepada PN,” ujarnya.
Kata Norhaslinda, pergerakan jentera kempen dibantu rakan-rakan parti komponen juga sentiasa berganding bahu menjalankan program bagi mendekati pengundi muda.
DUN Pangkor menyaksikan pertembungan lima penjuru antara Norhaslinda dengan Norzaman Man (BN-UMNO); Yahaya Ahmad (Warisan); Abdul Razak Nazri (PH-PKR) dan Mohd Azlan Suhaimi (GTA).
Jumlah pengundi adalah seramai 30,554 manakala pada PRU14 ia dimenangi Datuk Seri Zambery Abd Kadir dengan majoriti 1,626.