Sukan

Peluang pasukan campuran badminton negara raih emas

Sukan Komanwel Birmingham 2022

Skuad badminton berpasukan campuran negara berpeluang meraih pingat emas apabila berdepan India dalam perlawanan akhir hari ini di temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Ini adalah peluang terbaik buat skuad badminton negara menebus kekalahan kepada India pada temasya yang sama di Gold Coast, Australia pada 2018 di mana kita tewas 1-3 dalam perlawanan akhir.

Malaysia melangkah ke akhir selepas menewaskan tuan rumah England 3-0 pada Isnin manakala India selaku pasukan pilihan pula mudah menjinakkan Singapura 3-0 dalam aksi separuh akhir kedua.

Kekuatan India dalam sukan badminton tidak dapat disangkal selepas mereka menjuarai Piala Thomas buat pertama kali dalam sejarah negara itu pada Mei lalu.

Skuad badminton berpasukan campuran telah memenangi tiga pingat emas pada 2006, 2010 dan 2014.

Dalam aksi final hari ini, pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei dijadualkan berdepan juara dunia 2019 dan pemain nombor tujuh dunia, V. Sidhu Purala.

India dijangka mengutip mata pertama menerusi Sidhu yang masih segar dengan kejuaraan Terbuka Singapura yang dimenanginya dua minggu lalu.

Pertembungan perseorangan lelaki turut menjadi perhatian apabila Ng Tze Yong yang turun sebagai perseorangan utama negara dijangka berdepan tugas getir apabila dijadualkan berdepan sama ada Lakhsya Sen atau K, Srikanth.

Lakhsya berjaya menewaskan juara dunia, Loh Kean Yew 21-18, 21-15 sewaktu membantu India menewaskan Singapura 3-0 untuk menempah tempat ke penentuan pingat emas dan perak berdepan Malaysia.

Bagaimanapun, Malaysia berpeluang untuk mengutip mata menerusi tiga beregu yang dianggap sukar ditandingi oleh India.

Gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang memenangi pingat gansa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Pearly Tan-M. Thinaah dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menjadi pertaruhan untuk mengutip mata kemenangan buat Malaysia.

Aaron-Wooi Yik tidak pernah tewas dalam empat pertemuan dengan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty yang muncul hero mengutip mata kemenangan membantu India memenangi Piala Thomas termasuk pada Kejohanan Asia April lalu.

Kian Meng-Pei Jing dijangka kembali beraksi selepas tidak diturunkan sewaktu skuad negara menewaskan England di separuh akhir.

Beregu campuran negara itu bakal diturunkan walaupun Chan Peng Soon-Cheah Yee See berjaya mengejutkan pemain nombor 11 dunia, Marcus Ellis-Lauren Smith sewaktu menang menewaskan England 3-0. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button