Politik

Pelbagai ‘kabilah’ dalam UMNO cetus masalah

UMNO berhadapan dengan masalah dalamanya yang tersendiri dengan wujudnya pelbagai ‘kabilah’.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, setiap ‘kabilah’ dalam parti politik bumiputera itu mempunyai cita-cita peribadi.

Menurut beliau, para pemimpin dalam parti itu perlu mengetepikan kepentingan peribadi.

“Tetapi UMNO juga berhadapan dengan masalahnya tersendiri. Pelbagai kabilah dalam UMNO dengan cita-cita masing-masing.

“Cita-cita untuk diri sendiri dan bukan untuk negara, parti, orang Melayu dan Islam. Masalah inilah yang akan menewaskan UMNO jika tidak diatasi.

“Para pemimpin dalam UMNO mesti mengendurkan aspirasi peribadi dan mengutamakan hanya aspirasi parti dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kerana berpandangan bahawa untuk mewujudkan pentabiran yang stabil di Malaysia UMNO perlu menjadi sebahagian daripada kerajaan.

UMNO menjadi kunci kepada kelangsungan sesebuah kerajaan seperti yang terjadi kepada Pakatan Harapan.

“Untuk mewujudkan Kerajaan yang stabil di Malaysia, UMNO mesti jadi sebahagian dari angkubahnya.

“Pakatan Harapan tumbang kerana peranan UMNO menjadi pendesak dan pengaturcara. Perikatan Nasional tertubuh kerana UMNO memberikan talian hayatnya.

“Maka nasib Perikatan Nasional seterusnya adalah dalam percaturan UMNO. Pada UMNOlah kunci sebuah pemerintahan yang berfungsi boleh dijelmakan,” kata Mohamed Khaled.

Bagaimanapun menurut beliau UMNO sendiri ketika ini berhadapan dengan isu dalaman kerana kewujudan pelbagai kabilah atau puak dalam parti itu.

Ahli UMNO dan rakyat menurut beliau, menjadi bingung kerana berlaku banyak pertindihan pendapat dan pandangan dalam kalangan pemimpinnya.

“Kepada semua kabilah dalam parti, kendurkanlah cita-cita kalian demi menyelamatkan UMNO. Kembalilah semua sebagai hanya satu pasukan demi tanah air.

“Namun ini tidaklah bermakna kalian harus memadam cita-cita untuk memimpin bangsa suatu hari nanti. UMNO senantisa bersedia menonjolkan hanya yang terbaik jika saat dan ketikanya sampai tetapi mesti dengan mengikut resmi dan tradisi UMNO.

“Semoga Allah membuka seluas-luasnya pintu persaudaraan di kalangan kita dan semoga Allah melembutkan hati sang ‘panglima’ dalam UNMO untuk bertaut kembali demi UMNO yang satu-satunya,” katanya.

Mohamed Nordin berkata, jika pemimpin dan ahli dalam parti itu mahu melihat UMNO terus hidup maka mereka perlu membenarkan hanya institusi Presiden dan Majlis Tertinggi sebagai pengemudi perjalanan perti itu.

Beliau menegaskan, segala pandangan yang di luar institusi UMNO bukan mewakili kepentingan parti malah menjadi elemen percanggahan kepada parti.

“Samada kita bersetuju dengan individu atau tokoh tertentu dalam kepimpinan parti, itu biarlah kita simpan dalam nurani kita. Namun disiplin parti mesti kita kekalkan.

“Mereka yang terpilih dek keputusan perwakilan adalah wakil sebenar parti dan kepada merekalah kita sandarkan keyakinan.

“Tanpa disiplin, parti akan jadi persendaan ahli dan rakyat. Tanpa kesatuan, UMNO akan meleset dalam seteruk-teruk kemelesetan,” katanya.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button