Nasional

Pelarian Rohingya, sila pergi ke negara ketiga

KERAJAAN tidak lagi menerima pelarian Rohingya dari Bangladesh yang menceroboh masuk ke negara ini Mereka sebaliknya akan dihantar ke negara ketiga. Demikian kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Beliau berkata, sehubungan itu kerajaan akan berbincang dengan negara terlibat untuk urusan penghantaran pulang.

“Jadi di sini kerajaan menegaskan tidak lagi menerima pelarian-pelarian ini dan kami akan berbincang dengan negara terlibat untuk urusan penghantaran pulang.

“Kerajaan lebih selesa jika negara-negara ini dapat menerima pelarian Rohingya dari Malaysia,” katanya.

Bercakap pada sidang akhbar harian hari ini, Ismail Sabri berkata, selain itu, kerajaan juga akan berbincang dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNCHR) dan kerajaan Bangladesh menerusi Kementerian Luar untuk menempatkan pelarian Rohingya di negara ketiga.

“Banyak negara yang mempersoalkan tentang bagaimana Malaysia menguruskan isu (pelarian) Rohingya ini dan ada yang mendakwa kita tidak berperikemanusiaan.

“Jadi, kami minta Kementerian Luar berbincang dengan negara-negara ketiga ini supaya menerima pelarian Rohingya dari Malaysia,” tegas Ismail Sabri.

Beliau menambah, sekiranya negara ketiga yang terlibat menerima kehadiran pelarian ini, banyak isu khususnya membabitkan pendatang tanpa izin di negara ini dapat diselesaikan.

Ismail Sabri mengulas demikian ketika diminta oleh wartawan tentang sekumpulan 269 etnik Rohingya yang ditahan awal pagi semalam setelah cuba menceroboh perairan Pulau Langkawi. – SUMBER BERNAMA – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button