Rencana

Pelantikan Dr Zulkifli Mohamad Perkasa Gandingan Umara-Ulama

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR (Bernama) — “Gembira dan syukur”.

Dua perkataan yang mungkin paling tepat untuk menggambarkan perasaan sebahagian besar masyarakat Islam negara ini sebaik sahaja Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri diumumkan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Pelantikan Zulkifli, 51, yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lepas (9 Mac) yang mungkin tidak dijangka banyak pihak, melakar sejarah tersendiri dan dilihat akan memperkasakan gandingan kepimpinan umara-ulama.

Ini kerana belum pernah lagi ada sebelum ini golongan profesional agamawan termasuk mufti dilantik untuk turut sama berada dalam barisan kabinet sesebuah kerajaan di Malaysia.


Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan di Istana Melawati. –fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Justeru, pelantikan Zulkifli yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjadikan beliau mufti pertama di negara ini menganggotai barisan jemaah menteri bagi sesebuah kerajaan.

Tokoh agamawan terkemuka negara ini yang bukan ahli politik dilantik terlebih dahulu sebagai senator pada 10 Mac bagi membolehkan beliau memegang jawatan tersebut. Tugas sebagai menteri akan turut sama dibantu oleh Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary dari PAS yang dilantik sebagai timbalan.

Pelantikan anak kelahiran Kampung Gong Pauh, Terengganu ini yang merupakan ‘non-partisan’ sebagai menteri dilihat ramai sebagai pendekatan terbaik untuk mentadbir hal ehwal Islam bersandarkan kepada kepakaran dan pengetahuan tanpa tekanan pengaruh politik.

 

SAMBUTAN DI MEDIA SOSIAL

Pelantikan bekas mufti Wilayah Persekutuan yang disambut penuh gembira itu turut dizahirkan secara meluas masyarakat Islam negara ini di laman media sosial.

Sama ada di Facebook, Instagram mahupun laman Twitter, kebanyakan netizen meluahkan rasa syukur dengan pengumuman tersebut dan pada masa yang sama turut mengucapkan tahniah atas pelantikan beliau.

Di laman Facebook rasmi milik Zulkifli misalnya, dipenuhi dengan 6,000 ribu komen manakala Instagramnya penuh dengan 4,817 komen setakat jam 12.10 tengah hari (Selasa 10 Mac) pada status beliau di media sosial berkenaan sebaik diumumkannya pelantikannya itu.

“Saya dengan rendah hati memohon jasa baik sahabat semua untuk berterusan mendoakan saya agar saya dikurniakan Allah SWT kekuatan untuk memikul amanah dan kepercayaan ini sepenuh keupayaan saya.

“⁣Doakan saya, bantu saya dan berilah pandangan kepada saya. Kita teruskan legasi pemimpin terdahulu, membina negara Malaysia yang berbilang kaum dan agama, dalam keredhaan-Nya,” kata Zulkifli pada status tersebut.

Tidak hanya dipenuhi komen netizen yang membina, positif dengan pelantikan berkenaan, status tokoh ilmuwan agama ini turut tular dan dikongsi ramai dengan sebanyak 13,000 perkongsian di Facebook manakala menerima 107,531 tanda suka di Instagram beliau setakat jam 12.10 tengah hari (Selasa 10 Mac).

Antara yang turut memberi komen adalah pemegang akaun Facebook bernama Faiza Yusni yang menzahirkan rasa penuh kesyukuran atas pemilihan Zulkifli kerana dilihat sebagai seorang paling layak menggalas jawatan menteri tersebut.

“Alhamdulillah. Secara jujur, rasa bangga, tinggi menggunung kerana orang yang menjaga agama dipilih dari kalangan orang paling layak. Semoga sentiasa dalam lindungan Allah SWT dan dipelihara daripada perkara yang menggusarkan. Aamin,” katanya.

Selain turut sama mengucapkan tahniah, doa dipermudahkan urusan serta dikurniakan kesihatan baik, netizen juga menzahirkan harapan supaya Zulkifli dapat memberi perhatian khusus terhadap beberapa perkara berbangkit mengenai hal ehwal Islam sebelum ini.

“Tahniah buat Datuk Seri atas pelantikan sebagai Menteri yang menguruskan hal ehwal agama. Mohon Datuk Seri memberi perhatian khusus ke atas perlakuan puak LGBT yang semakin berani menghina agama dan menggunakan media sosial untuk mempromosikan aktiviti mereka,” komen protubemalaysia.

 

SANGAT DISENANGI, RENDAH DIRI


Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengangkat sumpah sebagai senator di di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri S.A. Vigneswaran di Dewan Negara, Parlimen. –fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Ada banyak sebab mengapa pengumuman Zulkifli sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) disambut penuh kegembiraan khususnya oleh masyarakat Islam di negara ini.

Zulkifli yang menyandang jawatan Mufti Wilayah Persekutuan sejak 2014 ini bukan sahaja terkenal dan tidak asing dalam dunia dakwah tetapi juga adalah pakar rujuk dalam dalam pelbagai isu agama.

Bahkan beliau juga sangat disenangi ramai kerana keperibadiannya yang begitu merendah diri, tidak sombong dan mudah didekati sesiapa sahaja.

Ini dapat dilihat dengan jelas apabila beliau yang juga merupakan peminat pasukan bola sepak Liverpool sering dikunjungi pasangan suami isteri, bukan sahaja sebagai rujukan ilmu kekeluargaan tetapi juga yang ingin “mentahnikkan” anak mereka.

Malah, ada pasangan suami isteri yang memberikan cenderahati berupa jersi pasukan kesayangannya itu kepada beliau kerana begitu gembira  atas kesudian Zulkifli untuk mentahnikkan anak mereka.

Menariknya, biarpun sudah bergelar mufti, beliau mudah didampingi orang ramai apabila sering kali turun padang menyampaikan kuliah di pelbagai masjid bukan sahaja di sekitar kawasan Lembah Klang tetapi juga di negeri lain.

Malah, sejurus selepas pengumuman pelantikan beliau sebagai menteri, tokoh agamawan ini masih mengekalkan rutin bulanannya menyampaikan kuliah maghrib di Masjid Slim River, Perak. Semasa dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dan berhenti di Hentian Rehat dan Rawat Jejantas Sungai Buloh, beliau dilihat berbual mesra dengan mereka yang menyapanya.


Ustaz Ebit Lew (Ebit Irawan Ibrahim Lew – kiri), pendakwah dan Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed, Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti, Universiti Utara Malaysia. –fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sifat rendah diri Zulkifli turut menarik ramai pendakwah termasuk Ustaz Ebit Lew yang menzahirkannya di laman Facebooknya pada 9 Mac .

“Beliau seorang sangat rendah diri dan baik. Ingat lagi beberapa kali ceramah bersama. Dan saat jumpa di pejabat. Sangat tawaduk dan kuat memikirkan keadaan masyarakat dan membangunkan Malaysia dengan Islam dan kebaikan.

“Di wajahnya tergambar sedih, bimbang atas masyarakat (hari) ini masa berbincang keadaan usaha dakwah kepada golongan anak muda di kelab, tepi jalan, LGBT, anak remaja, membantu yang ingin belajar Islam… Tahniah Dr Zulkifli Al Bakri. Allah sayang yang Mulia Ustaz Dr Zulkifli,” antara coretan Ustaz Ebit Lew dalam status tersebut.

 

BERBILANG AGAMA


Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). –fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Bekas mufti Wilayah Persekutuan ini bukannya calang-calang orangnya biarpun beliau sentiasa sederhana dalam penampilan dengan pakaian jubah dan kopiah.

Suami kepada Datin Seri Dr Shereen Mohd Yunos ini merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Syariah), Universiti Islam Madinah, Arab Saudi, Ijazah Sarjana Pengajian Islam (Syariah) daripada Islamic Sciences & Arabic University, Jami’ Al-Sadat, Damascus, Syria dan Doktor Falsafah Syariah (Fatwa) dari Universiti Sains Malaysia.

Beliau juga pernah dinobatkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul 2012 peringkat Wilayah Persekutuan, Tokoh Maal Hijrah 2014 peringkat Negeri Terengganu dan Ikon Integriti & Anti Rasuah 2019 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Zulkifli juga turut menghasilkan lebih 300 buah buku keagamaan seperti Bayan Linnas dan Irsyad Fatwa.

Istimewanya, pencapaian membanggakan itu dan keterampilan perwatakan termasuk mempunyai hubungan baik dengan jiran tetangganya yang pelbagai bangsa bukan sahaja menarik perhatian masyarakat Islam tetapi juga rakyat majmuk negara ini.

Beliau pernah berkongsi di laman sosialnya mengenai tradisi yang diamalkannya setiap kali Tahun Baru Cina iaitu menghadiahkan kek kepada jiran tetangga dan antaranya ialah Pakcik Choong atau nama sebenarnya Choong Kooy Choon.

Biarpun jirannya itu sudah meninggal dunia tetapi Zulkifli tetap menghadiahkan kek kepada keluarga mendiang.

Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti, Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed ketika diminta mengulas mengenai pelantikan Zulkifli memberitahu Bernama, keperibadian Zulkifli yang berimejkan Islamik tidak menghalangnya untuk bergaul dengan pelbagai lapisan agama.

“Sebagai mufti, pandangan beliau banyak berkaitan dengan isu masyarakat dan lebih penting pandangannya adalah mengambil kira kepentingan dan kedudukan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Kita boleh katakan, walaupun pandangan beliau itu berdasarkan rujukan Al-Quran dan Hadis, namun pendekatan beliau didapati bersesuaian dengan kedudukan Malaysia sebagai rakyat majmuk.

“Sebab itu, kita dapati pandangan beliau banyak diterima pakai masyarakat. Ini berbeza dengan sesetengah pendapat ahli agama yang kadangkala pandangan mereka terlalu konservatif dan tidak memikirkan keadaan masyarakat dalam negara kita,” katanya.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button