Nasional

Pelan transformasi pendidikan awal dilaksana tahun hadapan

Jabatan Kemajuan Masyarakat, KEMAS, akan melaksanakan Pelan Transformasi Digital Pendidikan Awal Kanak-kanak TABIKA KEMAS mulai tahun depan.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, pelan transformasi digital itu akan menjadi aspirasi pembangunan bakat digital kanak-kanak di Tabika KEMAS.

“KEMAS telah menyiapkan Pelan Transformasi Digital Pendidikan Awal Kanak-kanak dan ianya akan memberi manfaat kepada hampir 200 ribu kanak-kanak TABIKA KEMAS kelak.

Pelan itu merangkumi beberapa strategi antaranya memperluaskan pembekalan Peralatan Digital seperti pembekalan peralatan Smart TV, Komputer, akses Internet bagi mewujudkan persekitaran digital di TABIKA KEMAS.”

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Hari Potensi KEMAS Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 Kali Ke-16 di sini hari ini.

Pelan itu juga katanya akan memperkasakan pembangunan kandungan bahan Pengajaran dan Pembelajaran Digital melalui kerjasama strategik bersama pelbagai pihak.

Antaranya, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta pakar akademik dari luar negara seperti United Kingdom dan Jepun.

Juga mempertingkatkan kompetensi digital kepada personel Pendidikan Awal kanak-kanak di KEMAS melalui pelaksanaan latihan berterusan berkaitan penggunaan teknologi dalam pendidikan.

Selain memperkasakan Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21) melalui peluasan Pendidikan STREAM ke TABIKA dan TASKA KEMAS seluruh Malaysia termasuk tatasusila dalam penggunaan teknologi dan media sosial.

“Kita mahu supaya kanak-kanak yang datang belajar di TABIKA KEMAS ini akan merasai pengalaman yang menyeronokkan dalam melalui proses pembelajaran yang berteraskan Literasi Digital. Ini penting bagi memberi pendedahan dari awal agar kanak-kanak ini berkemahiran digital bagi memenuhi keperluan era digital di masa hadapan.”

KEMAS tambah beliau memperuntukkan hampir RM1 juta bagi tujuan latihan dan pembekalan peralatan digital kepada hampir 10,416 orang Pendidik Masyarakat TABIKA dan 10,833 buah kelas TABIKA KEMAS seluruh negara.

“Walaupun KEMAS akan ke arah pembelajaran digital namun ibu bapa tidak perlu risau kerana yuran pembelajaran atau sumbangan daripada ibu bapa di TABIKA KEMAS juga tidak akan dinaikkan sebaliknya ianya kekal dan tidak melebihi RM30.00 sebulan. Selebihnya adalah ditanggung oleh kerajaan melalui subsidi kerajaan sebanyak RM20 juta setahun kepada setiap kanak-kanak Tabika KEMAS.”

Sementara itu, Hari Potensi KEMAS Peringkat Kebangsaan Tahun 2021, diadakan secara atas talian pada 11 hingga 15 Oktober 2021 melalui platform Facebook KEMASOFFICIAL dan Youtube KEMASTV.

Ia menampilkan 6 acara bakat antaranya Bilal Cilik, KEMAS Kid Top Host dan Bercerita Sirah Rasul.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button