Nasional

Pelan Strategik ESG Kebangsaan dipersetujui – PM

PERDANA Menteri berkata, cadangan Pelan Strategik Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Kebangsaan telah dipersetujui pada Mesyuarat Majlis SDG Negara Tahun 2024 yang diadakan pada Rabu.

 Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu hantaran di Facebooknya berkata, pelan itu dirangka dalam usaha kerajaan membawa entiti perniagaan Malaysia secara berfasa ke arah pematuhan dan pelaporan ESG, malah ke peringkat melangkaui tahap pematuhan, sekali gus mewujudkan kelebihan kompetitif dan pembangunan mampan negara.

“Saya singgung keperluan memastikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak dibebankan dengan kos yang tinggi dalam usaha mematuhi garis panduan ESG. Justeru disarankan bantuan latihan penerapan ESG turut dilaksanakan oleh syarikat-syarikat tersenarai awam, multinasional dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Ini penting bagi menyokong PKS dalam rantaian nilai masing-masing, sayugia kementerian-kementerian yang berkaitan disaran memperkukuh program latihan bersesuaian kepada entiti perniagaan yang disasarkan,” katanya.
“Kerajaan MADANI kekal berpegang teguh dengan sasaran indikator SDG negara yang seiring dengan sasaran-sasaran Ekonomi MADANI sementelahan pendekatan keseluruhan negara amat penting dalam mempergiat dan menambah baik inisiatif-inisiatif yang telah dirangka,” jelasnya.

Sementara itu sebagai mengulas indikator matlamat pembangunan mampan (SDG) negara beliau berkata, mesyuarat dimaklumkan Malaysia mencatatkan kemajuan memberangsangkan dengan unjuran pencapaian 43 peratus sasaran SDG menjelang 2030, mengatasi purata unjuran pencapaian global pada 17 peratus.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button