Pelakon drama Shah Hazvee mengaku tidak bersalah pikat isteri orang, ajak ke ranjang
PELAKON drama Shah Hazvee dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pagi semalam atas dakwaan memikat isteri orang dan mengajak melakukan persetubuhan.
Astro Gempak melaporkan, Shah Hazvee atau nama sebenarnya Muhammad Shah Radhi Hazvee, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Farah Nasihah Annuar.
Mengikut kertas pertuduhan, pelakon drama ‘Monalisa’ dan ‘Hero’ itu didakwa memikat isteri orang berusia 36 tahun supaya wanita itu melakukan persetubuhan dengannya.
Muhammad Shah Radhi didakwa mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, S. Sangitaa menawarkan jaminan RM6,000 kepada tertuduh.
Bagaimanapun peguamnya Harcharanjit Singh memohon supaya anak guamnya dijikat jamin dengan wang jaminan berjumlah RM2,000.
Beliau berkata, tujuan jaminan adalah untuk memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah.
Katanya lagi, anak guamnya itu adalah seorang artis dan tiada sebab untuk dia melarikan diri.
Farah Nasihah membenarkan Muhammad Shah Radhi diikat jamin dengan wang jaminan RM2,300 dengan seorang penjamin.
Difahamkan kakak tertuduh membayar wang jaminan.
Sementara itu, perbuatan Muhammad Shah Radhi telah mengundang perhatian ramai sehingga timbul pertanyaan, siapakah gerangan jejaka bertubuh kekar ini.
Memetik laporan Astro Gempak, wartawannya imbas kembali kontroversi yang pernah membabitkan pelakon drama Monalisa itu sebelum ini.
1. Siapa Shah Hazvee
Pernah dikenali sebagai Shah Radhi, pelakon berusia 24 tahun itu berasal dari Kuala Kubu Bharu.
Selain bergelar pelakon, Shah turut terbabit dalam bidang peragaan.
Antara naskhah lakonannya ialah drama Monalisa (2008), Kan Ku Kejar Cinta Mu (2018), filem Pinjamkan Hatiku (2017) dan beberapa telefilem.
Namun menerusi tinjauan Gempak, ada yang mengemaskini infonya membintangi naskhah Lelaki Keparat Itu Aku dan Isteri Kau Isteri Ku Jua.
2. Pub halal
Shah pernah menyatakan hasrat untuk membuka sebuah pub halal untuk dijadikan tempat anak-anak muda melepak.
Bagaimanapun, impiannya itu dikecam ramai.
https://www.instagram.com/p/B34hzK-Dwhc/?utm_source=ig_embed
3. Tayang dada
Pernah berkongsi foto menampakkan sebahagian daripada dadanya, Shah kembali dikecam ramai hingga ada yang mempertikaikan bentuk badannya.
Hari ini, Shah mengaku tidak bersalah atas dakwaan memikat isteri orang dan mengajak melakukan persetubuhan.
Mahkamah membenarkan Shah diikat jamin RM2,300 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Ogos depan untuk sebutan kes.
Begitulah kisah Muhammad Shah Radhi yang memalitkan lumpur kepada golongan artis khususnya mereka yang terlibat dalam dunia lakonan.
Biarpun ada yang menafikan tetapi perbuatan Muhammad Shah Radhi ini sedikit sebanyak memberi impak kepada mereka yang menjadikan dunia lakonan sebagai punca pendapatan.
Kalau nak diikutkan, Muhammad Shah Radhi diletakkan sebagai pelakon yang ketepi tidak, ketengah pun tidak.
Dengan kontroversi yang dicarinya itu namanya sama ada ‘meletup’ atau suram kerana pihak produksi akan takut untuk menawarkan dia berlakon.
Muhammad Shah Radhi selepas apa yang berlaku, seharusnya berfikir kerana jangan disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga.
Masyarakat akan menghukum dan memandang rendah kepada golongan artis dan merasakan artis membawa pengaruh yang negatif.
Memang benar bukan semua artis berperangai seperti Muhammad Shah Radhi tetapi fikir-fikirlah wahai Muhammad Shah Radhi! – SUMBER ASTRO GEMPAK – SM