Pelajar maut terjatuh dari tingkat dua bangunan sekolah
Seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah di Durian Daun, Melaka dekat sini maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat dua sekolah berkenaan petang tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, polis menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 2.31 petang.
Menurutnya, sepasukan polis dari Balai Melaka Tengah telah bergegas ke tempat kejadian dan menemukan mangsa yang lengkap berpakaian sukan sekolah tanpa memakai kasut.
“Mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap di atas jalan. Kepala mangsa berdarah dan dipercayai jatuh dari tingkat dua sekolah itu,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Christopher berkata, siasatan awal mendapati bangunan kelas sekolah itu mempunyai tiga tingkat.
Katanya, mangsa pula berada di tingkat dua ketika kejadian berdasarkan penemuan kasut yang ditinggalkan di kaki lima.
“Tiada saksi yang nampak mangsa terjun atau terjatuh. Siasatan juga mendapati tiada kesan perbuatan jenayah di sekitar kawasan itu,” ujarnya.
Katanya, mayat pelajar itu ditemukan oleh tukang kebun sekolah berkenaan dalam keadaan telungkup.
Menurutnya, motif kejadian masih dalam siasatan dan mayat mangsa telah dihantar ke forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat. – SM