KES pelajar sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) berusia 24 tahun yang yang ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 21 di sebuah hotel di Tanjung Bungah, semalam masih dalam siasatan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.35 petang itu, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap di tingkat bawah hotel berkenaan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, berdasarkan siasatan awal, pelajar wanita ini didapati telah mendaftar masuk ke hotel tersebut bersama teman lelakinya.
“Kemudian, mangsa dilaporkan terjatuh dari bilik hotel mereka yang terletak di tingkat 21 hotel tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini seperti yang dipetik dari Utusan Online.
Sehubungan itu katanya, polis telah merekodkan keterangan daripada teman lelaki mangsa yang juga berusia 24 tahun.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. Bagaimanapun, polis sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini,” katanya.