Pendidikan

Pelajar, kakitangan MMU, TM terima komputer riba, peranti RM200,000

SERAMAI 40 pelajar dan 128 kakitangan Universiti Multimedia (MMU) dan Telekom Malaysia (TM) menarik nafas lega apabila menerima sumbangan bernilai lebih RM200,000, baru-baru ini.

Sumbangan Universiti Multimedia (MMU) melalui Yayasan Universiti Multimedia (YUM) itu adalah dalam bentuk peralatan komputer riba dan peranti tablet bagi membantu memudahkan pembelajaran para pelajar dan ahli keluarga kakitangan yang berpendapatan rendah.

Puteri Nursabrina Roslan

Puteri Nursabrina Roslan, 21, yang mewakili para penerima sumbangan berkata, pembelajaran secara dalam talian amat mencabar kepada pelajar yang kurang mempunyai peralatan.

“Bantuan ini sangat meringankan beban kewangan kerana komputer riba milik saya sebelum ini telah rosak dan tidak mampu untuk membayar kos membaikinya atau membeli unit baharu,” kata pelajar Diploma Pentadbiran Perniagaan di kampus MMU Melaka itu.

Sumbangan itu disampaikan oleh Presiden MMU, Prof. Dato’ Dr. Mazliham Mohd Su’ud dalam majlis agihan bantuan di MMU Cyberjaya, baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Zakat Selangor Saipolyazan M. Yusop, dan Pengarah YUM, Dr. Ridzwan Bakar.

Dana sumbangan untuk penerima-penerima Muslim adalah daripada sumber zakat manakala empat penerima bukan Islam menerima bantuan daripada sumber derma.

Ahmad Raziff Baharam

Kakitangan Menara Kuala Lumpur, Ahmad Raziff Baharam, 52, berkata, tiga daripada lima anaknya amat memerlukan peralatan komputer riba untuk melaksanakan tugasan pengajian di institusi pengajian tinggi.

“Bantuan ini melegakan saya kerana waktu ini peranti amat penting untuk mendapatkan bahan-bahan pembelajaran secara digital dengan mudah dan murah berbanding pembelian buku dan bahan cetak yang mahal kosnya,” katanya yang sudah 23 tahun berkhidmat dengan Telekom Malaysia.

Mullaimalar Bandiservran

Pelajar jurusan Perakaunan, Mullaimalar Bandiservran, 20, berkata, sumbangan itu dapat melancarkan lagi pembelajaran terutama dalam situasi norma baharu waktu ini.

“Saya amat memerlukan peranti untuk pelajaran, terima kasih kepada MMU di atas keprihatinan ini,” katanya yang berasal dari Ipoh dan daripada keluarga B40.

Presiden MMU memberitahu, peralatan itu memberi banyak manfaat untuk membantu para pelajar mengikuti pembelajaran atas talian dalam situasi norma baharu waktu ini.

Ia juga meringankan beban keluarga kerana tidak perlu lagi membeli kemudahan tersebut untuk memastikan pelajaran anak-anak tidak terjejas akibat kesan wabak COVID-19.

“Pandemik yang melanda dunia telah memberi impak yang cukup besar kepada golongan miskin, berpendapatan rendah atau B40 termasuk anak-anak mereka yang masih belajar sama ada di sekolah atau pun di peringkat pengajian tinggi.”

“Justeru, MMU melalui YUM telah melaksanakan pelbagai usaha untuk membantu pelajar dan warga MMU yang memerlukan supaya pelajaran anak-anak tidak terjejas,” katanya pada majlis berkenaan di Kampus MMU Cyberjaya, di sini baru-baru ini.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button