Pelabur asing terus jual saham tempatan
PELABUR asing menjadi penjual bersih minggu lalu, dengan penjualan RM147.8 juta bersih ekuiti tempatan berbanding RM173.9 juta bersih yang dijual pada minggu sebelumnya.
Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata Bursa Malaysia memulakan prestasi minggu lalu dengan baik apabila pelabur asing membeli RM8.0 juta bersih ekuiti tempatan pada Isnin, walaupun pelabur institusi tempatan mengurangkan pegangan mereka menjelang cuti umum Aidiladha pada Selasa.
Beliau berkata, pelabur antarabangsa secara amnya berada dalam situasi enggan mengambil risiko apabila mereka menjual RM147.0 juta bersih ekuiti tempatan sebaik sahaja pasaran kembali beroperasi pada Rabu.
“Sentimen keseluruhan dipengaruhi oleh penularan varian Delta yang sangat cepat, yang mungkin mengganggu laluan pemulihan ekonomi global,” katanya kepada BERNAMA.
Adam berkata, keyakinan terhadap pasaran tempatan dicatatkan pada Khamis dengan dana asing membeli RM32.8 juta bersih ekuiti tempatan, dan pada masa sama indeks FBM KLCI meningkat 0.7 peratus.
“Aliran masuk bersih asing itu didorong oleh kenaikan kukuh yang berpanjangan di Wall Street dalam tempoh semalaman susulan pelaporan prestasi kewangan korporat yang memberangsangkan.
“Bagaimanapun, pelabur asing menjual RM41.6 juta bersih ekuiti tempatan pada Jumaat, memandangkan jumlah kes COVID-19 harian di negara ini mencapai 15,573 kes, iaitu yang tertinggi pernah dicatatkan pada ketika itu,” katanya.
Setakat ini, kes COVID-19 terkumpul Malaysia melepasi angka satu juta iaitu 1,013,438 kes selepas 17,045 kes baharu dilaporkan pada Ahad, angka tertinggi yang dicatatkan dalam tempoh sehari sejak pandemik ini melanda negara pada Mac 2020.
“Data Indeks Harga Pengguna (IHP) terbaharu yang dikeluarkan pada Jumaat, yang meningkat 3.4 peratus tahun ke tahun pada Jun 2021 berbanding pertumbuhan 4.4 peratus tahun ke tahun pada Mei 2021 menunjukkan tekanan inflasi kekal tinggi namun terus menurun secara beransur-ansur,” katanya.
Adam berkata, bagi 2021 setakat ini, pelabur antarabangsa telah menjual RM5.0 bilion bersih ekuiti tempatan berbanding RM18.3 bilion bersih yang dijual pada tempoh yang sama tahun lalu. -BERNAMA