fbpx
Nasional

Peguam Negara baharu boleh kembalikan kepercayaan rakyat

PEGUAM Negara yang baharu dilantik Tan Sri Idrus Harus mampu mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap sistem keadilan di Malaysia.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Idrus yang mempunyai latarbelakang kehakiman dan pernah menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan mampu mengalas amanah yang diberikan.

“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Tan Sri atas perlantikan ini.

“Kami meletakkan sepenuh harapan agar beliau dapat melaksanakan amanah dengan baik demi mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat dan orang luar terhadap sistem dan prinsip kedaulatan Undang-undang atau ‘Rule of Law’.

“Yang sebelum ini sedikit tercalar apabila pihak yang dilihat punya kecenderungan politik kepartian diangkat sebagai Peguam Negara,” kata Asyraf Wajdi.


Idrus  memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Undang-undang, 1980 dan selepas itu telah berkhidmat dalam pelbagai jawatan termasuk Penolong Kanan Pendaftar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Hakim Mahkamah Sesyen di Kota Kinabalu.

Beliau juga pernah bertugas sebagai Timbalan Pendakwaraya di Jabatan Peguam Negara, Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri Terengganu, Peguam Kanan Persekutuan di Badan Pencegah Rasuah dan Penasihat Undang-Undang Suruhanjaya Pilihanraya.

Beliau pernah menjadi Pendaftar Syarikat (1998- 2002 ) dan berkhidmat di Jabatan Peguam Negara sebagai Ketua Bahagian Penasihat dan Antarabangsa serta sebagai Penggubal Undang-undang Parlimen (2004-2006) sebelum menjadi Peguamcara Negara (2006-2014).

Beliau telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan (2014-2018) sebelum dilantik menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan pada 28 Nov 2018.

Idrus menggantikan Tan Sri Tommy Thomas yang telah menyerahkan surat peletakan jawatan pada 28 Februari lalu.

Tommy dilantik menyandang jawatan itu pada 4 Jun 2018 bagi tempoh dua tahun dan sepatutnya berakhir Jun depan.-SM

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button