Pecah tembelang: Imej Bale tempah bermain golf dengan Levy tersebar
IMEJ yang menunjukkan Gareth Bale membuat tempahan bermain golf bersama Daniel Levy telah bocor dan tersebar kepada umum. Bintang Real Madrid, 31, itu dijangka tiba di London hari ini bagi melengkapkan perpindahan secara pinjaman ke Tottenham.
Peminat semakin teruja apabila menyaksikan imej yan tersebar itu yang secara tidak langsung mengesahkan mengenai perpindahan bintang Wales tersebut.
Gambar itu menunjukkan Bale yang sering diejek di Sepanyol kerana minatnya terhadap golf akan bermain di Hadley Wood hari ini. Turut menyertai Bale ialah Pengerusi Tottenham, Daniel Levy dan ketua pencari bakat,
Steve Hitchin.
Selepas imej itu tersebar di media sosial, seorang peminat berkata: “Pengumuman akan dibuat sewaktu dia bermain golf, betul tak.”
Seorang lagi pula menambah: “Anda tidak boleh menulis seperti ini!”
Seorang pengguna Twitter berkata: “Gareth Bale dan Daniel Levy bermain golf, esok (hari ini) di Hadley Wood. Satu petanda baik buat peminat Spurs.”
Bagaimanapun, menerusi kenyataan yang dikeluarkan di media sosial memaklumkan bahawa imej yang bocor itu adalah palsu.
Kelab Golf Hadley Wood menulis: “Tidak pernah berlaku tempahan bermain golf pada waktu tengah hari. #We Wish.”
Bale telahpun mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sepasukannya di Madrid menjelang kepulangannya ke London Utara.
Pemain Wales itu dilaporkan telahpun lulus pemeriksaan kesihatan. Dia dijangka menyertai bekas kelabnya untuk pinjaman jangka panjang menerusi perjanjian bernilai 20 juta pound (RM107 juta).
Bale yang merupakan peminat fanatik sukan golf meninggalkan Spurs menerusi rekod perpindahan bernilai 85 juta pound (RM452 juta) pada 2013.
Sejak itu, dia berjaya meledakkan lebih 100 gol dan memenangi empat gelaran Liga Juara-Juara. Namun Real tidak lagi memerlukan khidmat pemain itu yang memiliki gaji mingguan yang cukup mahal iaitu sebanyak 650,000 pound seminggu (RM3.48 juta).
Difahamkan Spurs akan membayar 50 peratus daripada bayaran gaji dengan Real menjelaskan selebihnya. – The Sun UK – SM