Mahkamah

Bukan semua berani lapor salah laku rasuah

TIDAK semua orang berani menegakkan kebenaran terutama melibatkan salah laku pecah amanah ataupun rasuah termasuklah membuat aduan.

Lebih-lebih lagi apabila kesalahan yang dilakukan itu melibatkan majikan atau pegawai yang lebih tinggi dalam syarikat ataupun jabatan tempat bekerja.

Justeru, masalah tersebut mengundang dilema kepada pekerja yang menyedari salah laku rasuah atau pecah amanah yang berlaku dalam organisasi mereka.

Namun, pekerja bawahan ini berisiko dipecat dan hilang sumber pendapatan jika laporan mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dihidu si pelaku.

Situasi demikian seperti yang berlaku melibatkan seorang Timbalan Pengarah Education Malaysia Global Services (EMGS).

Wafiy Abd. Aziz, 35, dituduh memecat seorang kakitangannya kerana memberikan maklumat salah lakunya kepada SPRM.

Berdasarkan fakta kes, timbalan pengarah terbabit didakwa mengambil tindakan memudaratkan terhadap pemberi maklumat berusia 53 tahun.

Beliau dipercayai mengapi-apikan Pengerusi EMGS, Datuk Abdul Rahman Mohamed Shariff supaya menandatangan satu dokumen pemecatan seorang kakitangan.

Kelakuan itu dikatakan sebagai satu tindakan balas terhadap pendedahan salah laku tertuduh.

Wafiy didakwa melakukan kesalahan itu dekat pejabat EMGS di Jalan Mayang Sari, Kuala Lumpur pada 9 Januari lalu.

Beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini di bawah Seksyen 10 (3)(b) Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).

Sabit kesalahan, kakitangan swasta itu boleh dihukum di bawah Seksyen 10 (c) akta sama iaitu penjara maksimum 15 tahun, denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Wafiy bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azman Ahmad dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.

Hakim turut mensyaratkan penyerahan dokumen perjalanan dan melapor diri ke pada SPRM dua kali setiap bulan dan menetapkan 10 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu, portal MalaysiaGazette melaporkan kesalahan yang dilakukan tertuduh tidak boleh dijamin.

Namun pihak pendakwaan tidak membantah jika mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan.

Justeru, pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Afif Ali pada asalnya mencadangkan supaya kadar jaminan RM30,000 dikenakan dengan seorang penjamin.

Pihak pendakwa turut memohon syarat tambahan iaitu penyerahan dokumen perjalanan kepada mahkamah dan lapor diri kepada SPRM sebulan sekali.

Walau bagaimanapun, peguam, Siti Sarah dari Tetuan Salehuddin Saidin yang mewakili tertuduh memaklumkan anak guamnya tidak akan melarikan diri.

Kerana Wafiy dikatakan berhadapan dengan satu pertuduhan lain di mahkamah sama pada Julai lalu dan dibenarkan diikat jamin dengan wang RM12,000.

Tambah Siri Sarah, anakguamnya itu juga tidak pernah gagal lapor diri seperti diarahkan hakim mahkamah bagi pertuduhan lain sebelum ini.

Memanglah, penjenayah rasuah dan pecah amanah akhirnya dihadapkan ke mahkamah, namun bagaimana dengan nasib yang pekerja yang dipecat? – SM

(Visited 318 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button