Nasional

PdPR: GLC, MNC digesa sedia kemudahan liputan internet lebih menyeluruh

LIPUTAN internet adalah menjadi perkara asas selain gajet dalam melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Justeru, capaian internet sehingga kini masih lagi menjadi perkara berbangkit dalam PdPR dan syarikat-syarikat berkaitan perlu memainkan peranan.

Terutama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat multi nasional (MNC), badan-badan yayasan dan seluruh wakil rakyat perlu menunjukkan solidariti terhadap perkara ini.

Isu ketidaksamarataan akses internet, kekurangan peranti teknologi untuk murid dan guru serta ibu bapa masih lagi menjadi hal yang dibangkitkan walaupun setahun pandemik Koronavirus (Covid-19) dilalui.

“Sepatutnya syarikat gergasi dan pertubuhan yang besar seperti GLC, MNC dan badan-badan Yayasan tampil secara lebih proaktif dan bukannya responsif dalam amalan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Justeru, Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara secara tegas memohon GLC dan MNC berkaitan telekomunikasi menunjukkan sikap solidariti.

“Dengan memberi pakej internet dan telefon pintar dengan harga patut serta kepenggunaan yang disesuaikan dengan PdPR dan pemberian data tanpa had bagi sistem capaian internet.

“Pada waktu sama, kewujudan lambakan badan-badan yayasan dalam negara ini serta seluruh Wakil Rakyat perlu berketrampilan membantu kumpulan bersasar ini yang mendepani permasalahan PdPR dan isu yang sangat serius dalam capaian internet.”

Demikian kata Pengerusi Kaukus itu, Senator Datuk Razali Idris dalam satu kenyataan mengulas masalah jurang antara penduduk sama ada luar bandar mahupu dalam bandar terhadap pelaksanaan PdPR.

Tambahnya, satu kajian pernah dibuat dan hasilnya diperoleh pada pertengahan tahun lepas, namun kerajaan dilihat bertindak lewat terhadap isu PdPR.

Katanya lagi, sesi persekolahan juga sudah berlalu hampir seminggu, namun Jabatan Pendidikan Daerah dan Negeri sepatutnya sudah mencapai solusi mengatasi permasalahan PdPR dalam kalangan pelajar dan guru.

“Saya juga difahamkan bahawa menerusi Dapatan Kajian Kesediaan Murid dalam Pembelajaran Secara dalam Talian (Online Learning), Kementerian Pendidikan (MOE) mendapati lebih 30 peratus atau membabitkan kira-kira 280,000 pelajar tidak mempunyai peranti bagi membolehkan mereka mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

“Dapatan kajian yang merangkumi 670,118 responden terdiri daripada ibu bapa kepada 893,331 pelajar turut menunjukkan enam peratus pelajar memiliki komputer peribadi, 9.3 peratus pelajar memiliki komputer riba, 5.8 peratus pelajar memiliki tablet dan 46.5 peratus pelajar memiliki telefon pintar.

“Ini adalah dapatan kajian pertengahan tahun 2020 yang sepatutnya Kementerian Pendidikan telah bersedia lebih awal dalam mengendalikan krisis komunikasi pendidikan bagi pandemik Covid-19 di negara ini,” tegasnya.

Bagaimanapun, katanya kerajaan sudahpun bertindak dengan melaksanakan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), Pakej Rangsanan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai).

Malah, dalam Belanjawan 2021 juga kerajaan memberikan pelepasan cukai bagi pembelian komputer, tablet atau telefon bimbit sehingga RM2,500 yang berakhir pada 31 Disember tahun ini.

Selain itu tempoh capaian internet percuma sebanyak 1 gigabit juga diberi untuk melauyari laman web berkaitan pendidikan.

Kemudahan itu diberikan khas untuk pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama sehingga hujung April 2021. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button