Politik

PAU 2023: UMNO boleh berubah kerjasama dengan Kerajaan Perpaduan

SELEPAS mencatat prestasi terburuk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tahun lepas dengan hanya memperoleh 30 kerusi yang mana 26 daripadanya dimenangi oleh UMNO, sewajarnyalah pendirian parti itu berubah dan bekerjsama dengan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Pakatan Harapan (PH).

Menurut Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad, keputusan UMNO bekerjasama dengan PH menjadi bukti parti itu matang dan boleh menyesuaikan diri dengan keadaan semasa.

Noraini berkata, langkah bergabung dengan PH juga membuktikan bahawa UMNO mengutamakan kepentingan negara berbanding “ego”.

Untuk rekod, sebelum PRU15, UMNO bertegas tidak akan bekerjasama dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim dan saingan tradisinya, DAP.

“UMNO bukanlah sebuah parti yang sukar untuk berubah. UMNO juga bukan parti perkauman,” katanya kepada perwakilan Wanita UMNO pada Perhimpunan Agung, hari ini.

Dalam ucapannya, Noraini turut mengimbau reaksi ahli UMNO yang terkejut, kecewa dan bimbang apabila BN memutuskan untuk menyertai Kerajaan Perpaduan berkonsep Malaysia Madani.

“Jika kita ketepikan sejenak sentimen peribadi, hakikatnya, penyertaan UMNO sebagai rakan strategik dalam Kerajaan Perpaduan ini ada hikmah politik,” katanya.

Noraini berkata, memandangkan UMNO bukan lagi parti dominan di negara ini, ia perlu mencapai kompromi dengan parti lain terutamanya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Pada PRN nanti, kata Noraini, UMNO tidak akan bertanding di setiap kerusi.

“Kita perlu berkompromi. Demi membawa kemenangan kepada Kerajaan Perpaduan, yang kita dukung bersama,” katanya.

Sementara itu, semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua ahli parti supaya menerima hakikat UMNO bukan lagi kuasa politik dominan di Malaysia.

Zahid berkata, parti (UMNO) perlu bersiap siaga dan merebut setiap peluang yang muncul semasa PRN.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) bermula 7 Jun sehingga 10 Jun ini. – SM

BACA Ahli UMNO perlu undi DAP untuk kekalkan kerajaan stabil

BACA Anwar kembali ke perhimpunan agung UMNO

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button