Politik

PAU 2022: 160,000 perwakilan berkuasa tentukan jawatan nombor satu dan dua parti dipertandingkan

TERPULANG kepada 160,000 perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 pada 11 hingga 14 Januari ini untuk menentukan sama ada jawatan nombor satu dalam parti boleh dicabar atau ditandingi.

Begitu jawapan yang terpacul keluar dari mulut Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika menjawab soalan pemberita pada sidang akhbar usai Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, jawatan nombor satu dan nombor dua dalam parti bukan terletak di tangannya untuk dicabar atau tidak.

Terdahulu, Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh Hamzah pernah mencabar Zahid, jawatan Presiden UMNO.

Di dalam parti itu sendiri, secara kasar, ramai pemerhati politik mengatakan bahawa terdapat dua puak dalam UMNO.

Satu puak ialah mereka yang mahukan jawatan Presiden parti dipertandingkan manakala satu puak lagi, tidak mahu jawatan itu jadi satu pertandingan atau rebutan.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, jawatan nombor satu dan dua parti tidak perlu dipertandingkan.

Beliau berkata, sebaliknya usaha perlu dilakukan untuk mengukuhkan parti selain mengembalikan semula kepercayaan rakyat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang diadakan pada 19 November lalu.

Kata Nur Jazlan, perebutan kedudukan itu mampu memecahbelahkan parti dengan menjelaskan, hanya empat kali pemilihan Presiden berlaku sepanjang sejarah penubuhan 70 tahun UMNO.

Pemilihan dua jawatan tertinggi parti ditentukan oleh 160,000 perwakilan seluruh negara pada PAU pada 11 hingga 14 Januari ini.

Hampir 160,000 perwakilan mewakili cawangan untuk menentukan sama ada mengekalkan kepimpinan sedia ada atau kepimpinan yang berubah untuk pastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus relevan dalam pentas politik. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button