Hiburan

Patrick Teoh kembali aktif di Facebook

Selebriti dan deejay radio, Patrick Teoh yang ditahan dan kemudiaannya di hadapkan ke mahkamah berikutan kenyataan jelik di media sosial hari ini kembali aktif di Facebook.

Teoh yang ditahan polis pada Mei lalu berikutan laporan daripada orang awam berhubung kenyataannya terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, dia berasa seperti terlalu lama tidak menulis apa-apa di Facebook.

“Tunggu, biar saya lihat, hantaran terakhir adalah pada 8 Mei. Itu sudah terlalu lama. Saya harap ada yang merindui saya LOL.

“Saya pasti anda semua tahu apa yang berlaku. Tapi kita tidak akan bercakap mengenainya. Untuk sekarang. Saya gembira kembali ‘online’.

“Untuk hari berikutnya, kita lihat apa yang menarik untuk kita perkatakan. Jumpa tak lama lagi. Oh ya… niamah!!!!” kata Teoh dalam hantaranya hari ini.

Pada Mei lalu Patrick Teoh telah ditahan dan direman selama lima hari bagi membantu siasatan berkaitan tuduhan menghina Tunku Ismail dan institusi diraja Johor di Facebook.

Teoh ditahan oleh oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor (IPK). Sebuah komputer riba milik Teoh turut dirampas. Dia telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Pada 14 Jun Teoh yang berusia 73 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan membuat kenyataan jelik di akaun Facebook terhadap Tunku Ismail pada 8 Mei.

Pada 20 Julai, Mahkamah Sesyen Johor Bahru menetapkan 7 September depan untuk pengurusan kes Teoh.

Hakim Faiz Dziyauddin menetapkan tarikh itu selepas pihak pembelaan memaklumkan kepada mahkamah mahu merujuk kes berkenaan ke mahkamah tinggi.

Ia berikutan pihak pembelaan berpendapat terdapat isu Perlembagaan yang perlu dijelaskan sebelum kes berkenaan diteruskan untuk perbicaraan.

Mengikut pertuduhan, Teoh didakwa menggunakan Facebook Page ‘Patrick Teoh’ secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Tertuduh didakwa mengikut subseksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 233(3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button