fbpx
Mahkamah

Mejar Mazlina mengaku cuai, banyak buat silap sebagai Setiausaha Eksekutif Zahid Hamidi

Kes bicara Ahmad Zahid: Saksi ke-90

PROSIDING sambung bicara di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menampilkan Mejar Mazlina Mazlan yang mengaku beberapa kali cuai dalam menjalankan tugasnya sebagai Setiausaha Eksekutif kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sepanjang tujuh tahun dia berkhidmat dengan tertuduh.

Mejar Mazlina ketika menjawab soalan pemeriksaan balas daripada Peguam Ahmad Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal memberitahu mahkamah dia juga mengaku melakukan kesilapan dalam urusan pembayaran kad kredit milik Presiden UMMO itu.

Kesilapan itu ialah terlebih bayar kad kredit Ahmad Zahid selain membuat bayaran penuh yang mana setiap satu pembayaran berjumlah RM20,858.36 sen.

Mejar Mazlina terdiam dan tidak dapat menjawab soalan Ahmad Zaidi bilakah kali pertama dia mengeluarkan cek Yayasan Akal Budi menggunakan cop tandatangan.

Sedangkan jika dirujuk pada perenggan 32 kenyataan saksi, Mejar Mazlina hanya boleh menggunakan cop tandatangan sekali sahaja dan bukan untuk pengeluaran cek.


“Kemungkinan besar tak, ada kena mengena dengan cek-cek yang jadi isu dalam kes ini?” soal Ahmad Zaidi.

Soalan itu membuatkan saksi pendakwa ini diam dan gagal menjawab soalan.

Mejar Mazlina turut disoal apakah menggunakan cop tandatangan itu sebagai blanket approval, tanya Ahmad Zaidi.

“Saya faham maksud blanket approval. Satu arahan yang jelas. Ya itu andaian semata-mata,” kata Mejar Mazlina.

Peguam Ahmad Zaidi menarik perhatian mahkamah apabila beliau memberitahu, dalam kenyataan saksi bekas Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid, Datuk Rosiah Othman, cop tandatangan hanya digunakan untuk sijil-sijil, kad-kad jempitan secara lambak. Bukan ke atas cek yayasan.

Kenyataan di atas dipersetujui oleh Mejar Mazlina yang mengaku kepada mahkamah bahawa dia tidak tahu, mana-mana bank di Malaysia tidak boleh menerima cek ditandatangani cop kecuali ada resolusi khas daripada pemegang akaun.

Mejar Mazlina mengaku dia tidak tahu yang Yayasan Akal Budi tidak pernah membuat apa-apa resolusi yang membenarkan cop tandatangan digunakan.

“Tidak lojik kalau saya katakan Datuk Zahid, bekas senior banker yang berpengalaman (pegawai kanan bank) membenarkan kamu menggunakan cop tandatangan. Setuju dengan saya,” soal Ahmad Zaidi.

Saksi: Tidak setuju.

Mengekalkan alasan yang sama sebelum ini mengapa Mejar Mazlina membayar kad kredit peribadi Ahmad Zahid sebelum tarikh matang kenyataan kad kredit iaitu Ahmad Zahid seorang yang sibuk, jika ada berlaku kelewatan, itu adalah kecuaian Mejar Mazlina bukan prosedur kenyataan kad kredit sampai lewat ke pejabat.

Saksi: Tidak setuju.

Mejar Mazlina mengakui dia tidak pernah tunjuk kepada Ahmad Zahid cek pembayaran kad kredit.

Jika ditunjukkan dan kalau benar Ahmad Zahid meneliti semua pembayaran kad kredit terutamanya terlebih bayar, tentu Ahmad Zahid tidak luluskan, kata Ahmad Zaidi.

Saksi bersetuju dengan pernyataan yang dicadangkan peguam.

Kecuaian Mejar Mazlina dalam membayar kad kredit sebelum tarikh matang berlaku sebanyak dua kali iaitu lapan hari sebelum tarikh matang bayaran dan kali kedua, 21 hari sebelum tarikh matang.

Saksi ini juga mengaku di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah, dia melakukan kesilapan menulis tarikh dan bulan yang salah dan memasukkan cek yang tiada tandatangan melalui mesin wang ATM.

Peguam Ahmad Zaidi bertanya kepada saksi, “Dari mana kamu dapat jumlah ini untuk bayar kad kredit Datuk Zahid sedangkan kenyataan (credit card statement) tak sampai lagi? Satu malam saya cari tak jumpa. Pelik ni.”

Jawap Mejar Mazlina, “Saya hubungi bank untuk dapatkan jumlah seminima untuk elak kad kredit disekat kegunaan.”

Pendedahan butiran peribadi pemilik kad kredit kepada individu lain yang bukan pemegang kad kredit menimbulkan tandatanya di pihak peguam pembela.

Namun niat baik Mejar Mazlina dapat membayar jumlah kad kredit Ahmad Zahid dengan amoun yang tepat sebelum kenyataan bank kad kredit dikeluarkan adalah satu ‘keajaiban’.

Mahkamah berhenti rehat untuk memberi laluan kepada solat Jumaat dan akan bersambung di sebelah petang. – SM

(Visited 2 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button