Nasional

Pasar raya abai kebersihan diarah tutup 14 hari

Wartawan Suara Merdeka

JASIN 21 April – Ekoran sikap tidak ambil peduli soal kebersihan, stor menyimpan barang makanan sebuah pasar raya di daerah ini
diarahkan tutup selama 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983, bermula hari ini.

Tindakan tersebut diambil hasil serbuan kira-kira pukul 11 pagi itu oleh penguatkuasa Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) menemui stok
bekalan makanan bersama longgokan najis haiwan yang dibiarkan kering dan menjijikkan.

Lebih mengejutkan pasar raya tersebut turut dikesan menyimpan ayam dan ikan busuk yang dibekukan, selain tidak melupuskan makanan
yang telah tamat tarikh luput pada 2018 terus disimpan di situ.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, dalam Op Raya 2022 premis berkenaan diarahkan
untuk menjalani pembersihan selepas didapati stor berkenaan kotor, berbau busuk serta dipenuhi najis kucing.

Muhamad Akmal Saleh melihat najis haiwan di tempat stor penyimpanan barangan makanan di sebuah pasar raya di Jasin, Melaka.

Menurutnya, serbuan ke atas pasar raya berkenaan dilakukan selepas mendapat aduan daripada pelanggan dilakukan berhubung kualiti dan
kebersihan produk yang dijual di situ.

“Kami terkejut melihat tempat menyimpan produk makanan bukan setakat kotor tetapi menemui najis haiwan seperti kucing dan tikus yang
tidak dibersihkan.

“Selain itu kita temui, pelbagai barangan yang telah tamat tarikh luput tetapi masih disimpan di stor berkenaan dan kesalahan ini
sangat melampau.

“Kita arahkan pasar raya ini ditutup selama 14 hari kerana tidak puas hati dengan tahap kebersihan,” ujarnya kepada pemberita selepasmengetuai Op Raya 2022 bersama Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Rusdi Abd. Rahman.

Sehubungan itu kata Muhamad Akmal, premis berkenaan dikenakan tiga kompaun bernilai RM9,500 manakala 279 barang bernilai RM1,949.79
turut disita atas kesalahan tamat tarikh luput, pelabelan, makanan rosak dan pembungkusan.

Jelasnya, tindakan itu dibuat mengikut Peraturan-peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Muhamad Akmal berkata, pasar raya berkenaan telah beroperasi sejak 2014 dan terkenal di kawasan setempat kerana menawarkan harga
rendah berbanding pasaran.

Menurutnya, sepanjang Op Raya 2022 bermula 11 April lalu dan berakhir semalam, JKN mengeluarkan lima kompaun bernilai RM15,000 telah
terhadap pemilik premis sekitar negeri ini yang dikesan melakukan kesalahan.

Kompaun tersebut katanya, melibatkan tujuh pasar mini dan pasar raya, hasil serbuan dijalankan sebanyak 104 barangan makanan bernilai
RM515.83 disita atas pelbagai kesalahan seperti pembungkusan, pelabelan dan tamat tarikh luput.

Jelasnya, sejak Jan hingga bulan ini pihaknya telah menyita sebanyak 790 barang makanan bernilai RM4,743.47 dengan 13 kompuan
bernilai RM38,500 dikeluarkan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button