Jenayah

Remaja maut motosikal langgar belakang Proton Saga

Wartawan Suara Merdeka

ALOR GAJAH, MELAKA 21 April – Kegembiraan seorang remaja menunggang motosikal bersama rakannya membawa
padah apabila dia maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kampung Tengah, Kuala
Sungai Baru di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, remaja yang menetap di Taman Seri Gamelan
dekat sini mengalami kecederaan serius di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Bahagian belakang Proton Saga remuk dilanggar motosikal dinaiki seorang remaja di Kuala Sungai Baru, Melaka.

Menurutnya, pemandu kereta Proton Saga, Yusri Haris berusia 44 tahun dari Batu 29, Kampung Tengah dekat
sini pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, sewaktu kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, kedua-dua kenderaan berkenaan datang dari
arah Kuala Linggi menghala ke Pekan Kuala Sungai Baru.

“Sewaktu tiba di tempat kejadian, Proton Saga yang memberi isyarat untuk membelok ke sebelah kanan secara
tiba-tiba dilanggar dari belakang oleh sebuah motosikal yang dinaiki remaja berkenaan,” katanya.

Arshad meminta pemandu Proton Saga tersebut dan saksi kejadian untuk hadir ke Balai Polis Trafik Alor
Gajah untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan
1987.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat untuk mengenal
pasti punca sebenar kematian.

“Kedua-dua kenderaan terbabit kemalangan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM)
Alor Gajah untuk pemeriksaan kerosakan,” katanya.

 

(Visited 581 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button