Pasangan kekasih kantoi, rentas negeri guna surat kebenaran palsu
HELAH pasangan kekasih yang cuba menggunakan semula surat kebenaran rentas negeri yang diolah semula akhirnya disedari sebelum ditahan kira-kira pukul 10 malam.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, pasangan kekasih itu menggunakan borang rentas negeri palsu itu dan ditahan selepas cuba membeli tiket bas di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Salak Selatan.
“Tindakan mereka itu berjaya dihidu selepas kakitangan kaunter yang menjual tiket berasa curiga dengan borang rentas negeri tersebut.
“Pasangan itu kemudian telah dibawa ke Pondok Polis TBS untuk disiasat.
“Hasil siasatan mendapati, borang rentas negeri berkenaan pernah dikeluarkan sebelum ini namun terdapat beberapa pindaan dibuat ke atas borang itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohamed Mokhsein, kedua-duanya telah ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 22 (d) Akta 342.
Dalam pada itu, orang ramai diberi peringatan supaya sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standart (SOP) ditetapkan dan arahan semasa pihak berkuasa dalam sama-sama menangani penularan penyakit Covid-19 ketika ini. -SM