Pas nasihatkan ADUN DAP jangan racuni rakyat dengan sikap curiga
AHLI Dewan Undangan Negeri DAP Jannie Lasimbang dinasihatkan agar jangan meracuni rakyat Sabah dengan sikap curiga dan saling membenci.
Ini berikutan ADUN Kepayan itu mendakwa bahawa PAS adalah sebuah parti yang tidak terbuka terhadap kepercayaan lain dan dengan wakilnya di dalam kerajaan negeri Sabah akan mengganggu keharmonian agama dan kaum di negeri itu.
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah Norsah Bongsu meminta Jannie agar bersikap terbuka dan menghormati demokrasi.
“PAS Sabah adalah milik orang Sabah. Kami juga berhak dan bertanggungjawab untuk keharmonian, pembangunan dan masa depan Sabah. Janganlah lagi meracuni rakyat Sabah dengan sikap curiga dan saling membenci.
“Sudah-sudahlah bermain politik, mari kita bersama fokus perangi COVID-19 yang sedang menyelinap dalam komuniti, rakyat sedang bergelut dengan COVID-19 dan masalah kehilangan sumber pendapatan.
“Inilah masanya wakil-wakil rakyat yang baru dilantik turun menyantuni pengundi, memberi kata semangat kepada rakyat dan memberikan bantuan yang sepatutnya.” kata Norsah.
Menurutnya, kenyataan Jannie adalah sangat bertentangan dengan sikap beliau ketika menjawat jawatan sebagai Pembantu Menteri Kementerian Undang-undang Dan Hal Ehwal Anak Negeri.
“Semasa memegang jawatan tersebut beliau telah menjemput Dewan Muslimat PAS Sabah dalam suatu perbincangan yang berkaitan isu hal ehwal anak negeri Sabah. Perbincangan berjalan harmoni.
“PAS bukan sahaja memberi sumbang saran malah bersikap terbuka dengan saranan-saranan dari wakil wanita parti lain yang hadir. Mengapa hari ini beliau boleh menyatakan PAS memudaratkan keharmonian?” tanya Norsah.
Kelmarin sebuah portal berita menyiarkan laporan bahawa Jannie bimbang dengan cadangan melantik wakil dari PAS menyertai DUN dan kabinet negeri yang baru dibentuk
“Pelantikan PAS ke dalam DUN, dan lagi teruk dilantik dalam kabinet, akan mengakhiri keharmonian agama dan etnik yang dinikmati dan dipupuk oleh orang-orang di Sabah,” katanya.
Kata Jannie, PAS selalu mengambil pandangan melampau yang didakwa akan memudaratkan semua agama, termasuk Islam, Kristian, Buddha, Tao, Hindu atau kepercayaan orang asal.
“Jika, ahli PAS yang dilantik itu kemudian dilantik sebagai menteri yang menjaga Hal Ehwal Anak Negeri di Sabah, orang asal Sabah akan diabaikan kerana PAS adalah parti ultra-Melayu yang tidak menegakkan atau menghormati pluraliti budaya.
“Prinsip budaya asli penting yang telah diangkat oleh kementerian di bawah kerajaan Warisan Plus, dan penambahbaikan sistem Mahkamah Anak Negeri cenderung diabaikan kerana ini tidak menjadi kepentingan PAS.
“Usaha yang diperkenalkan dan dicapai dalam 26 bulan jauh lebih relevan dengan Sabah daripada Dasar Kebudayaan Nasional,” kata Jannie.-SM