Nasional

Elak salah menyalah, tanggungjawab bersama melawan Covid-19

RAKYAT dinasihatkan untuk mengelak daripada menunding jari antara satu sama lain berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19 kebelakangan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tugas untuk melawan Covid-19 bukan hanya dipikul oleh petugas kesihatan sahaja.

Sebaliknya semua ahli masyarakat turut bertanggungjawab dalam usaha memutuskan rantaian virus Covid-19 yang sedang merebak.

“Namun begitu, KKM dan agensi-agensi pihak berwajib tidak mampu melawan COVID-19 sendirian. Malahan, tanggungjawab lebih besar adalah terletak pada bahu setiap individu dalam masyarakat, tidak kira pangkat, latar belakang dan status.

“Elakkan daripada salah menyalahi antara satu sama lain. Tanggungjawab sosial ini perlu dipikul bersama agar kita dapat memutuskan rantaian penularan COVID-19 di dalam negara kita.

“Kita telah harunginya bersama sebelum ini dengan mematuhi SOP, dengan menjaga diri kita, keluarga kita, komuniti kita dan negara kita. Marilah kita bersatu melawan musuh kita bersama iaitu Covid-19,” kata Dr. Noor Hisham.

Menurutnya, Kementerin Kesihatan (KKM) sememangnya khuatir dengan tren peningkatan jangkitan Covid-19 yang mencatatkan jumlah harian tertinggi 287 hari ini.

Malah setiap hari KKM telah mengeluarkan peringatan kepada orang ramai agar terus mematuhi prosedur operasi standard.

Kata Dr. Noor Hisham, peningkatan kes di Malaysia adalah selari dengan peningkatan kes yang berlaku di peringkat global.

“Kes Covid-19 di dalam dunia pada masa kini telah mencecah sekitar 34.2 juta kes dan jumlah kes harian menunjukkan kenaikan iaitu sekitar 309,000 kes berbanding sebelumnya kira-kira 302,000 kes,” katanya.

Beliau berharap Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar dan pelaksanaan Kawalan Rentas Daerah di seluruh negeri Sabah yang akan berkuatkuasa mulai pukul 12:01 malam ini sehingga 16 Oktober akan membantu mengawal serta mengurangkan jumlah kes di negeri tersebut.

Semua Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah di seluruh negara juga telah diberi peringatan untuk menghadapi sebarang kebarangkalian kenaikan kes mendadak di lokaliti mereka.

Justeru usaha untuk mengesan, menguji, mengasingkan dan kemudiannya merawat sebarang kes Covid-19 kini dilipat gandakan. -SM

(Visited 303 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button