Politik

PAS kerjasama dengan Pejuang? Susah…

AHLI Jawatankuasa PAS Pusat, Zuhdi Marsuki menterjemahkan kezaliman Tun Dr Mahathir Mohamd terhadap parti itu ketika beliau menjadi Perdana Menteri keempat, sukar untuk dijernihkan.

Zuhdi berkata, itulah menjadi penyebab PAS sukar untuk bersikap terbuka bekerjasama dengan parti Pejuang seperti mana diusahakan oleh Bersatu.

Dr. Mahathir Mohamad

Beliau berkata, ketika Tun Mahathir berada di puncak kuasa, beliau sentiasa memusuhi PAS dan meminggirkan negeri yang ditadbir parti itu dengan menyekat pembayaran royalti petroleum dan peruntukan pembangunan di Kelantan dan Terengganu.

“Sangat sukar dijernihkan sejarah kezaliman beliau, apatah lagi untuk ahli-ahli PAS diajak bekerjasama dengan Pejuang seperti yang cuba diusahakan oleh Bersatu pada masa kini.

“Sejarah hubungan Mahathir dan PAS semasa beliau menjadi perdana menteri dan presiden Umno begitu berkeladak, keruh sekeruh-keruhnya,” katanya di Facebook beliau.

Pada 13 Oktober lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti itu bersedia mempertimbangkan kerjasama dengan Pejuang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya parti yang dipimpin oleh Tun Mahathir itu serius mengenainya.

Terdahulu Tun Mahathir pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Pejuang boleh bekerjasama dengan parti yang sebulu dengan Pejuang dan memetik Bersatu sebagai parti yang dimaksudkan.

Dalam pada itu, Zuhdi mendakwa ,kemuncak permusuhan Tun Mahathir terhadap PAS apabila berlakunya tragedi Memali pada November 1985.

“Peristiwa Pembunuhan Ustaz Ibrahim Libya dan murid-muridnya berlaku di kala Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri pada ketika itu yang sehingga hari ini, masih misteri tentang siapakah sebenarnya pencatur di sebalik pertempuran pasukan polis dan orang-orang kampung?

“Sehingga hari ini Tun Mahathir tidak pernah menyesal dengan kejadian itu,” dakwanya.

Tambah Zuhdi, pendek kata, di zaman Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri (pusingan pertama selama 22 tahun) dan Presiden UMNO, tekanan terhadap PAS dan kerajaan negeri yang diterajui oleh PAS begitu memuncak.

Untuk rekod, PAS yang ditolak UMNO untuk kerjasama dalam PRU15, memilih untuk bersama Perikatan Nasional (PN). – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button