Politik

Tak ada sebab tak keluar mengundi, hujan pakailah payung-Ahmad Maslan

Ramalan peribadi, nujum pak belalang 75% keluar mengundi

SOLUSI paling mudah tanpa boleh dijadikan alasan jika hari mengundi nanti, hujan lebat kerana kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan, “hujan, pakailah payung.”

Kata-kata bijak Setiausaha Agung parti itu ditambah, tiada sebab bagi rakyat Malaysia tidak keluar mengundi memandangkan tidak pernah berlaku sebarang rusuhan sepanjang 14 kali pilihan raya umum (PRU) diadakan.

Beliau turut menasihatkan para pengundi menyediakan payung sebelum keluar mengundi sekiranya hari hujan.

Penyandang Parlimen Pontian itu turut meramalkan peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekitar 75%.

“Angka itu sudah cukup baik untuk mencerminkan proses demokrasi yang berkesan daripada jumlah pengundi yang lebih ramai berbanding PRU 2018,” ujar beliau.

PRU15 kali ini nanti bakal menyaksikan kira-kira 21 juta pemilih berdaftar layak mengundi.

Itu merupakan peningkatan hampir sekali ganda daripada jumlah pengundi pada PRU14 yang lalu dan daripada jumlah itu, Ahmad mendakwa, “masih ramai yang tidak ambil peduli”.

“Mereka jenis tak kisah apa berlaku di kiri dan kanan. Mungkin malas nak ambil bahagian dalam proses demokrasi. Jadi saya meramalkan secara peribadi, mungkin yang keluar mengundi adalah 75%.

“Mereka yang tidak keluar mengundi, secara tidak langsung telah menyerahkan hasrat mereka itu kepada mereka yang keluar mengundi walaupun itu tidaklah yang setepatnya. Tetapi kalau mereka tidak keluar, itulah yang boleh disangkakan,” katanya seperti dilaporkan oleh Astro Awani.

Ahmad juga berkata, tiada yang menghalang rakyat keluar mengundi dalam keadaan negara yang aman serta fenomena alam yang dirasakan oleh beliau masih boleh didepani untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia.

“Bukan ada rusuhan pun, tak pernah ada rusuhan sepanjang 14 kali PRU diadakan di Malaysia. Aman damai sahaja. Kalau hujan, pakailah payung. Jadi pada saya, mereka perlu keluar mengundi,” ulang Ahmad Maslan. – SM

(Visited 329 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button