Nasional

Parlimen tiada kuasa sahkan perkenan Agong lantik PM

Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk memberi pengesahan kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong dalam hal pelantikan Perdana Menteri.

Pakar Perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, tiada peruntukan dalam Perlembagaan berkaitan undi percaya terhadap pekenan Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan Perdana Menteri.

Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu menegaskan, kuasa perkenan Yang di-Pertuan Agong dalalm pelantikan Perdana Menteri adalah amat berwibawa.

Justeru tidak ada mana-mana pihak boleh mempertikaikan kuasa perkenan Yang di-Pertuan Agong dan ia tidak perlu disahkan oleh mana-mana pihak termasuk Parlimen.

Jelas Shamrahayu, undi percaya adalah amalan atau adat perlembagaan yang tidak mengikat sehinggalah ia menjadi suatu undang-undang dengan cara dikanunkan atau diiktiraf oleh mahkamah.

“Pelantikan Perdana Menteri adalah sah setelah mendapat perkenan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong dan seterusnya berlakunya upacara menandatangani suratcara pelantikan, sumpah taat setia dan sumpah simpan rahsia yang kemudiannya lantikan tersebut hendaklah diwartakan.

“Sekiranya Tuanku titah untuk diadakan undi percaya, itu adalah bagi tujuan mengukuhkan kedudukan seorang perdana menteri, atau sesebuah kerjaan, BUKAN untuk memberi pengesahan kepada perkenan yang telah diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong,” jelas Dr. Shamrahayu.

Menurutnya, jika ada pihak yang mewajibkan perkenan Yang di-Pertuan Agong disahkan oleh Parlimen selain daripada titah baginda akan merendah-rendahkan kuasa budibicara, perkenan baginda.

“Parlimen adalah badan yang patut menurut dan taat kepada perkenan baginda. Justeru, kalaupun baginda titahkan untuk dibuat undi percaya, ia bukan bertujuan mengesahkan atau memberikan keabsahan kepada lantikan yang telah diberi perkenan oleh baginda.

“Tindakan mendapatkan undi percaya itu adalah bagi mengukuhkan kerajaan. Dan melaksanakan titah ini adalah baik untuk kerajaan itu sendiri walaupun ia adalah hanya adat perlembagaan,” jelasnya.

Shamrahayu berkata, beliau mengambil berat mengenai fungsi perkenan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.

Beliau tidak mahu orang ramai atau para pemain demokrasi menyatakan perkenan Yang di-Pertuan Agong tersebut boleh disahkan oleh Parlimen pada masa depan.

Pakar undang-undang itu menegaskan, sekiranya Parlimen diberi kuasa untuk mengesahkan perkenan Yang di-Pertuan Agong ia amat tidak baik kepada kuasa budi bicara dan kemuliaan baginda dalam melantik Perdana Menteri-SM

(Visited 290 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button