Parlimen hibrid bersidang akhir Ogos atau awal September
Persidangan Parlimen secara hibrid boleh diadakan sekitar akhir Ogos ataupun selewat-lewatnya minggu pertama September ini.
Jawatankuasa Khas Pemandu Persidangan Parlimen Secara Hibrid berpendapat sedikit tempoh diperlukan untuk persidangan Parlimen secara hibrid dilaksanakan.
Ini kerana beberapa persiapan melibatkan aspek perundangan, pentadbiran, teknikal, perolehan, bekalan serta latihan perlu diperkemaskan terlebih dahulu untuk memastikan pelaksanaannya berjalan dengan lancar.
Dalam satu kenyataan bersama Yang Dipertua Dewan Negara Senator Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizah Harun yang mempengarusikan jawatankuasa khas tersebut berkata, hal persiapan telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri selaku Ketua Majlis semalam.
Menurutnya, semua aspek perundangan dapat diselesaikan pada akhir bulan Julai sekiranya perkara tersebut diluluskan di peringkat Jawatankuasa Dewan dan Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Mesyuarat.
Justeru, Jawatankuasa Khas mencadangkan satu Sidang Khas Parlimen diadakan pada awal bulan Ogos tertakluk kepada syarat-syarat ketat pencegahan penularan COVID-19 yang dikuatkuasakan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Sesi Sidang Khas ini penting untuk memastikan semua Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perincian mengenai hal-hal resolusi yang diperlukan untuk diterima pakai berkaitan perancangan mengadakan sidang Parlimen secara hibrid merangkumi beberapa pindaan ke atas Peraturan Mesyuarat, takrif-takrif persidangan maya, penyelarasan tanggungjawab Ahli Parlimen serta perkara-perkara teknikal yang berkaitan,” katanya.
Sekiranya cadangan tersebut diterima oleh kedua-dua Dewan sedikit masa diperlukan oleh Parlimen Malaysia untuk memperolehi bekalan, mengintegrasikan sistem persidangan hibrid dengan sistem sedia-ada, ujian, pentauliahan dan juga latihan kepada petugas dan juga Ahli-ahli Parlimen.
“Mengambil kira perkara-perkara ini dan tertakluk kepada keperluan di atas, dijangka persidangan Parlimen secara hibrid boleh diadakan sekitar akhir Ogos ataupun selewat-lewatnya minggu pertama September 2021.
“Kedua-dua Yang di-Pertua Dewan mengambil inisiatif utama ini demi menjamin keutuhan Parlimen sebagai institusi tertinggi negara sentiasa terpelihara dan beberapa perincian lain akan diumumkan kemudian setelah Jawatankuasa Teknikal selesai berurusan,” katanya.
Secara umumnya, persidangan hibrid melibatkan kehadiran fizikal sekurang-kurangnya 26 Ahli Dewan Rakyat untuk menepati kehendak korum di Dewan Rakyat dan 10 Ahli Senator di Dewan Negara.
Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara yang selebihnya mempunyai pilihan sama ada untuk hadir secara maya ataupun secara fizikal yang tertakluk kepada syarat yang dikenakan oleh MKN dan KKM.-SM