Pakar bedah AS berjaya pindahkan jantung babi ke manusia, pertama kali di dunia
SEORANG lelaki dari Maryland yang menghidapi penyakit jantung telah selamat menjalani pembedahan pemindahan organ membabitkan jantung babi yang diubah suai secara genetik.
Pembedahan tersebut berjaya dilakukan oleh pasukan perubatan di Universiti Perubatan Maryland, merupakan kaedah pemindahan jantung babi kepada manusia pertama kali dilakukan di dunia.
Memetik laporan antarabangsa, pasukan doktor pada isnin berkata selepas tiga hari pembedahan dilakukan, pesakit tersebut dalam keadaan stabil.
Pesakit tersebut, David Bennett, 57, berkata dia terpaksa bersetuju melakukan pembedahan tersebut walaupun tiada jaminan pembedahan itu berjaya kerana dia tidak layak melakukan pemindahan jantung manusia.
“Ia sama ada mati atau melakukan pemindahan ini. Saya mahu hidup. Saya tahu ia merupakan peluang yang agak tipis tapi ini adalah pilihan terakhir buat saya,” katanya.
Sementara itu, doktor di Pusat Perubatan Universiti Maryland berkata terlalu awal untuk mengetahui sama ada pembedahan tersebut benar-benar berjaya tetapi ia merupakan satu langkah dalam usaha yang dilakukan selama beberapa dekad untuk menggunakan organ haiwan dalam pemindahan organ manusia bagi menyelamatkan nyawa.
“Pemindahan tersebut menunjukkan bahawa jantung daripada haiwan yang diubah suai secara genetik boleh berfungsi dalam tubuh manusia tanpa penolakan,” katanya.
Kekurangan manusia mendermakan organ untuk pemindahan telah mendorang saintis untuk mencuba cara menggunakan organ haiwan bagi menggantikan organ manusia.
Kira-kira 110,000 rakyat AS sedang menunggu giliran pemindahan organ dan lebih daripada 6,000 pesakit mati setiap tahun sebelum melakukan pemindahan organ. -SM