Banjir

Nadma salur RM106 juta dalam BWI kepada mangsa banjir

AGENSI Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sehingga kini menyalurkan peruntukan sebanyak RM106 juta kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan lima kerajaan negeri untuk penyaluran bantuan ihsan (BWI) kepada mangsa banjir.

Nadma dalam satu kenyataan hari ini berkata, lima negeri iaitu Melaka, Kelantan, Kuala Lumpur, Terengganu dan Perak telah menyelesaikan 100 peratus pengagihan BWI kepada ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir.

“Sehingga pukul 10 malam semalam, seramai 50,939 ketua isi rumah telah menerima bantuan tunai daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) manakala 2,558 ketua isi rumah menerima bantuan tunai di rumah dan 329 lagi melalui transaksi Pemindahan Dana Elektronik (EFT).

“Bagi status pengagihan ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir gelombang kedua, 921 daripada 9,887 ketua isi rumah (KIR) berdaftar telah menerima BWI,” menurut kenyataan itu.

Bagi pengagihan BWI yang melibatkan kematian, NADMA berkata daripada 57 kes yang dilaporkan, 40 penerima telah menerima bantuan RM10,000 setiap seorang dengan 18 daripada jumlah menerima wang tunai di PKOB manakala 22 lagi penerima bantuan telah diserahkan di rumah.

Selain itu, menurut laporan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), seramai 319 ketua isi rumah telah memohon baucar diskaun barangan elektrik.

“Mengikut anggaran awal Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), hampir 80,000 isi rumah terjejas akibat bencana banjir ini.

“Bantuan (rebat) ini adalah untuk pengagihan kepada rumah pengguna atau pemegang akaun elektrik (domestik) berdaftar yang terjejas banjir dan disenaraikan sebagai mangsa bencana oleh PKOB,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) berkata terdapat tambahan kejadian tanah runtuh di Terengganu, menjadikan jumlah keseluruhan tanah runtuh sepanjang tempoh Monsun Timur Laut 2021/2022 di seluruh negara sebanyak 269.

Jabatan Kerja Raya (JKR) turut melaporkan sehingga kini, terdapat sebanyak 58 kegagalan cerun dan kejadian tanah runtuh di seluruh negara.

Sementara itu, Nadma menyatakan setakat 2 petang ini, tiga negeri dilaporkan masih terjejas akibat bencana banjir membabitkan tujuh daerah di Pahang, Johor dan Melaka.

“Menurut laporan Met Malaysia, setakat 3 petang pada 10 Jan 2022, tiada amaran hujan berterusan berkuat kuasa. Cuaca semasa di Semenanjung Malaysia dilaporkan baik manakala hujan berterusan dijangka di barat Sarawak pada 11 Jan hingga 13,” katanya. – SM

 

(Visited 239 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button