Padah komen jelik di FB seorang lelaki didenda RM5,000
Seorang penghantar barang didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka di sini hari ini gara-gara membuat komen jelik terhadap anggota polis di laman sosial.
Tertuduh, Lau Siong Ping, 38, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Mengikut pertuduhan, Siong Ping didapati menggunakan akaun Facebook miliknya secara sedar untuk membuat komen palsu dan jelik sifatnya bagi menyakitkan hati terhadap seorang anggota trafik, Zia
Azri Kamsani, 31.
Hantaran tersebut dibaca oleh anggota di pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah pada pukul 9.00 pagi, 4 Mac 2021.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a)(ii) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 dan boleh dihukum di bawah akta sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 setiap hari kesalahan itu diteruskan tanpa pensabitan.
Mengikut fakta kes, tertuduh membuat hantaran tersebut susulan kerana dia tidak berpuas hati disaman anggota tersebut atas kesalahan lalu lintas pada 3 Mac 2021.
Tertuduh membuat hantaran di Facebook serta tular dan dikongsikan oleh 147 pengguna lain.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam sebelum itu merayu agar hukuman ringan diberikan dengan alasan hantaran itu dibuat ketika dia berada dalam keadaan marah.
Selain itu ujarnya, ahli keluarganya juga tidak mengetahui mengenai sabitan kesalahan, selain tidak mempunyai pendapatan tetap.
Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
Selepas mendengar hujah kedua pihak, mahkamah memerintahkan tertuduh membayar denda sebanyak RM5,000 atau penjara dua bulan jika gagal menjelaskan denda yang dikenakan. – SM