Nasional

150 kanak-kanak tadika ceria sambut Kemerdekaan ke-65

Kira-kira 150 kanak-kanak daripada Pusat Tadika Iman Mutiara Taman Nirwana, Klebang dan Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bergabung menyambut Kemerdekaan ke-65 dalam suasana paling ceria di Melaka hari ini.

Kanak-kanak berusia antara dua hingga enam tahun berpakaian ala tentera mengibar Jalur Gemilang dibantu anggota tentera dari Rejimen 514 Askar Wataniah Kem Bukit Beruang diterajui Pemangku Timbalan Komander, Lt. Kol Jamaluddin Mahmood.

Sejak pukul 7.00 pagi kanak-kanak terbabit sudah berhimpun ditemani ibu bapa dan penjaga bagi meraikan sambutan kemerdekaan menerusi program IM Merdeka Celebration.

Pengusaha Pusat Tadika Iman Mutiara, Noranizah Ahmad berkata, ramai kanak-kanak begitu teruja menyertai sambutan itu walaupun mereka masih belum mengenal erti kemerdekaan.

Menurutnya, program yang dianjurkan dengan kerjasama Rejimen 514 Askar Wataniah Kem Bukit Beruang itu adalah usaha memupuk jiwa kanak-kanak untuk cintakan Malaysia.

“Mereka telah dilatih menyanyikan lagu Negaraku dan kehadiran anggota tentera adalah bagi kanak-kanak ini menghargai jasa mereka memperjuangkan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.

“Lihatlah wajah ceria kanak-kanak tadika ini mengibar Jalur Gemilang dan berarak tidak sampai 1 kilometer walaupun tidak semeriah mana namun kita bangga melihat semangat dan keinginan mereka,” ujarnya ketika ditemui hari ini.

Majlis perasmian IM Merdeka Celebration telah disempurnakan Pengarah JAIM, Datuk Che Shukri Che Mat.

Noranizah berkata, kesemua kanak-kanak terbabit turut menyertai perbarisan dan perarakan di samping penduduk setempat turut keluar memberi sokongan.

Katanya, program itu adalah kali kedua diadakan semula selepas dua tahun semarak kemerdekaan dalam kalangan kanak-kanak di tadika itu tidak dapat diadakan ekoran pandemik Covid-19. – SM

(Visited 373 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button