Operasi sekatan jalan raya di Lembah Klang perlu disemak semula
KERAJAAN perlu menyemak semula keperluan untuk mengadakan sekatan jalan raya (SJR) di sekitar Lembah Klang berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Operasi SJR yang masih berjalan ketika PKPB dilihat tidak lagi relevan memandangkan semua sektor ekonomi termasuk taman tema dan pusat beli belah sudah boleh beroperasi.
Malah, orang ramai juga mulai keluar rumah untuk pergi ke tempat kerja setiap hari.
Bagaimanapun, tindakan pihak berkuasa yang masih melaksanakan SJR menyebabkan berlaku kesesakan trafik yang luar biasa sehingga ramai yang lewat tiba di tempat kerja.
Dalam tinjauan wartawan Suara Merdeka pagi tadi, operasi SJR menyebabkan kesesakan di beberapa lebuh raya utama seperti Lebuhraya Guthrie, Lebuhraya Utara Selatan (Plus) serta beberapa plaza tol.
Warga Lembah Klang yang perlu melalui Plaza Tol Bukit Jelutong pada pagi tadi mengalami kelewatan lebih satu jam apabila perlu melalui SJR sebelum memasuki plaza tol berkenaan.
Sementara pada waktu sama di Plaza Tol Damansara arah pusat bandar, pengguna terperangkap lebih empat jam apabila pihak berkuasa membuat pemeriksaan kepada setiap kenderaan yang lalu.
Wartawan Suara Merdeka, Mohamad Athir Ismail yang kebetulan melalui kawasan itu sempat merakamkan situasi di sana.
Beberapa keping gambar bersama catatan masa turut diambil bagi menunjukkan tempoh kesesakan berlaku.
Berikutan kesesakan itu, wartawan cuba menghubungi Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mendapatkan pengesahan jika terdapat sebarang prosedur operasi standard yang baharu.
Bagaimanapun panggilan tersebut tidak diangkat walaupun beberapa kali cubaan dilakukan.
Sebagai alternatif, Balai Polis Damansara dihubungi bagi mendapatkan kepastian terhadap operasi SJR.
Pegawai yang menjawab panggilan itu pula memaklumkan operasi SJR di Plaza Tol Damansara pada asalnya sudah ditamatkan, namun dibuka kembali selepas mendapat arahan daripada Ketua Polis Negara.
“Roadblock (SJR) itu bukan salah kita, asalnya sudah tutup. Tetapi atas arahan Ketua Polis Negara, roadblock itu kita buka balik.
“Selepas itu, yalah… kita pun manusia tidak mahu berada di tengah panas. Sebelum ini kereta lalu pun kita lepaskan sahaja (tidak melakukan pemeriksaan lanjut)
“Tetapi, itupun dijadikan isu. Jadi sekarang kita terpaksa tahan satu-satu kenderaan untuk membuat pemeriksaan.”
Demikian kata pegawai berkenaan selepas ditanya mengenai operasi SJR selepas Plaza Tol Damansara.
Tambahnya, beliau memahami sektor ekonomi sudah beroperasi dan ramai orang sudah kembali bekerja seperti biasa.
Namun, pemeriksaan dikatakan tetap dilakukan selepas menerima arahan pihak atasan.
Dalam pada itu, tinjauan Suara Merdeka di Plaza Tol Duta juga berlaku kesesakan luar biasa menyebabkan pengguna kelewatan sekurang-kurangnya tiga jam untuk pergi ke tempat kerja.
Selain itu terbaharu, kesesakan lebih satu kilometer dilihat berlaku dari Lebuhraya Duta – Ulu Kelang (Duke) menuju ke Plaza Tol Duta.
Sementara itu kesesakan turut berlaku di Jalan Tuanku Abdul Halim, menuju ke plaza tol yang sama.
Justeru orang ramai perlu menjangkakan kelewatan untuk sampai ke rumah dari tempat kerja.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan penguatkuasaan PKPB di Lembah Klang termasuk Selangor dan Kuala Lumpur kecuali Putrajaya diletakkan di bawah PKP Pemulihan (PKPP).
Bagaimanapun, penguatkuasaan tersebut hanya membenarkan penduduk untuk merentas daerah sahaja.
Sementara rentas negeri dalam PKPB masih lagi dilarang. – SM