Nasional

Tidak perlu larang sebut perkataan Allah – Hadi

PRESIDEN Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pada dasarnya tidak boleh dilarang sesiapa sahaja untuk menyebutkan perkataan Allah, sama ada orang itu Islam atau bukan Islam.
Malah katanya, walau apa pun anutan mereka termasuklah penganut agama yang melantik paling banyak Tuhan, bahkan golongan yang tidak beragama dan ateis (tidak percaya akan adanya Tuhan), tidak boleh dilarang menyebutkan perkataan Allah, jika ia mahu diucapkan atau ditulis.
“Tidak boleh juga dilarang kepada golongan yang berpelajaran tinggi, termasuklah orang yang paling bodoh dan buta huruf.
“Bahkan golongan yang paling gila dan tidak siuman serta tidak mempunyai akal langsung pun, jangan sekali-kali melarang mereka daripada menyebutkan perkataan Allah.
“Namun, perlu diketahui bahawa maksud perkataan Allah yang sebenar adalah mengikut asal usul daripada bahasa Arab yang menjadi bahasa asal bagi al-Quran.
“Perkataan Allah asalnya tidak terdapat dalam bahasa lain, termasuklah dalam bahasa Melayu, Turki, Parsi, Urdu dan bahasa lain daripada majoriti penganut Islam. Maka, perkataan Allah juga tidak berasal daripada bahasa Inggeris, Eropah, Asia dan Afrika yang bukan daripada bahasa Arab.
“Semua bangsa yang menganut Islam tidak menterjemahkan perkataan Allah dalam bahasa masing-masing, kerana tiada perkataan yang seerti dengannya. Sehingga Kamal Ataturk pun gagal memaksa Turki untuk menterjemahkan makna bagi perkataan solat dan azan ke dalam bahasa Turki,” katanya dalam kenyataan di Facebook..
Abdul Hadi berkata, sekiranya dirujuk kepada perkataan asal dalam Bahasa Arab, perkataan Allah mempunyai makna bahawa sesungguhnya Dia sahaja Tuhan yang Maha Esa, Tuhan yang layak disembah dengan beribadat kepada-Nya secara ikhlas, dipatuhi hukum dan undang-undang yang telah ditetapkan-Nya, beribadat kepada-Nya sahaja dan tiada lagi Tuhan selain daripada-Nya.
Huraian tentang makna ini katanya telah telah dinyatakan oleh al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab:
“Dengan nama Allah, Tuhan yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (1); Segala puji bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (2); Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (3); Yang Menguasai pemerintahan Hari Pembalasan (Hari Akhirat). (4); Hanya engkau sahajalah (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkau jualah sahaja kami memohon pertolongan. (5).” (Surah al-Fatihah: 1-5)
“Semua nama dan pujian itu berada dalam satu perkataan Allah SWT bagi mengesakan-Nya dari segi ibadat (‘uluhiyyah) serta dari segi mencipta dan mentadbir alam (rububiyyah),” katanya.
Malah Abdul Hadi turut memetik beberapa lagi ayat dalam Al Quran yang menjelaskan perkataan Allah.
Katanya, penjelasan yang merujuk kepada ayat-ayat Al Quran itu menunjukkan bahawa perkataan Allah SWT tidak mencapai maksud yang tepat, jika diterjemahkan ke dalam apa-apa sahaja bahasa di dunia ini.

“Jika sebutan Allah mahu dipinjamkan kepada mana-mana penganut agama atau bangsa lain, maka ia tidak boleh mencapai maksud asal perkataan Allah kerana kepercayaan mereka bercanggah dengan perkataan Allah mengikut asal perkataan dalam Bahasa Arab.
“Semua bahasa terdapat perkataan yang memberikan makna Tuhan. Mengikut bahasa Arab disebut dengan perkataan ‘Ilah’, manakala dalam bahasa Melayu dengan perkataan Tuhan atau bahasa lamanya dengan nama Dewata Mulia Raya, Sang yang Tunggal. Selain itu, bahasa Eropah dengan perkataan ‘God’, bahasa Parsi dan Urdu dengan perkataan Khuda dan perkataan lain. Namun, semua perkataan tersebut tidak mencapai maksud sebenar sebagaimana perkataan Allah dalam bahasa Arab.
“Namun begitu, kita tidak boleh melarang sesiapa sahaja untuk menyebutkannya. Akan tetapi, sekiranya sebutan kalimah Allah menyalahi daripada makna yang asal, seseorang itu hendaklah menanggung kesalahannya.
“Jika penganut setiap agama menyebutkan perkataan Allah mengikut kepercayaan masing-masing akan adanya Allah (Tuhan), itu adalah hak kebebasan beragama.
“Terdapat juga agama selain daripada Islam yang menggunakan perkataan Allah, termasuk masyarakat Arab yang tidak beragama Islam atau bukan Arab juga mengguna pakai perkataan Allah.
“Saya pernah mendengar seorang sami Hindu menyebut ‘Yalla’ di hadapan saya dalam doa dan manteranya ketika dalam suatu majlis dialog,” katanya. – SM
(Visited 712 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button