Belang Bertempat

Nusi, Gomo jadi sasaran

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor atau popular dengan panggilan Nusi menjadi sasaran pihak berkuasa dan parti pemerintah.

Selain pelbagai laporan polis dan saman dituju terhadap beliau, akaun media sosial khususnya TikTok telah dipadamkan.

Nusi yang diikuti jutaan orang di media sosial berkenaan lantang menyerang pihak kerajaan dan memberi penjelasan setiap serangan dilancarkan kepada beliau selaku Pengarah Pilihan Raya Pas dan Menteri Besar Kedah.

Negara kini berdepan dengan pilihan raya enam buah negeri dengan kedudukan semakin sukar untuk kerajaan mempertahankan negeri yang mereka kuasai iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Sementara negeri Kedah, Terengganu dan Pulau Pinang terus dikuasai oleh Perikatan Nasional.

Sanusi yang popular dalam kalangan anak muda kerana aktif di TikTok dan diangkat sebagai Hero Malaya perlu dibenamkan reputasinya jika mahu memastikan kemenangan berpihak kepada kerajaan.

Jadi tidak hairan apabila perdana menteri hingga ke menteri dalam negeri dan menteri komunikasi menjadikan Nusi sebagai sasaran.

Selain memadam akaun media sosial, pihak berkenaan berusaha menonjolkan sikap Nusi yang kekampungan serta tidak pandai mentadbir negeri Kedah.

Sedangkan perbuatan berkenaan hanya menimbulkan kemarahan rakyat Kedah dan sebahagian besar pengundi yang menganggap Nusi sebagai orang yang berani membela nasib rakyat.

Tindakan diambil oleh kerajaan yang cuba menutup mulut Nusi dikhuatiri memberi dampak negatif imej kerajaan hari ini sebagai tidak mesra rakyat dan mengguna kuasa berlebihan bagi membisukan rakyat.

Sebagai pemimpin yang memperjuangkan reformasi pelbagai aspek tatakelola dan wewenang Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat bertindak kebelakang dalam berdepan dengan musuh politiknya.

Ia ibarat perbuatan meludah ke langit akhirnya terkena muka sendiri.

Seorang lagi ialah blogger Papa Gomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris yang sebelum ini membayar ganti rugi berjumlah RM951,260.30 kepada bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memenangi kes saman fitnah terhadap blogger itu.

Akaun ahli UMNO yang digantung selama enam tahun itu yang mengguna nama Sir Azri juga turut dipadam beberapa kali.

Sebelum ini pemimpin kerajaan menuduhkan Gomo menggunakan robot semasa live, tetapi perkara itu akhirnya menjadi bahan ketawa dan ejekan.

Ini merupakan senario baharu dalam politik negara kita yang semakin kelam kabut dan caca marba.

Silapnya apabila kerajaan hari ini gagal merangka dasar yang jelas sejak mengambil alih kepimpinan negara pada Disember tahun lalu.

Keadaan ekonomi negara yang semakin menguncup tidak ditangani dengan baik.

Kesannya kini semakin dirasai oleh rakyat yang berdepan kos sara hidup meningkat mendadak.

Teriakan rakyat semakin hari semakin kuat cuba dibisukan oleh kerajaan. Ini bukan sikap baik sebuah kerajaan.

Sikap fasis para pemimpin yang ada menimbulkan rasa jelek rakyat yang mahu menunjukkan referundum di peti undi enam buah negeri pada 12 Ogos ini.

Rakyat dapat menilai dengan jelas dan kerajaan pula sudah terantuk, baru terngadah.

Bayangkan jika tiada pilihan raya negeri, setiap rungutan rakyat dibalas dengan hinaan dan diherdik.

Muhasabahlah diri wahai kerajaan. Jangan cuba perbodoh dan momokkan rakyat dengan sesuatu yang tidak benar. Itulah yang paling dibenci mereka.

 

(Visited 497 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button