Hiburan

Sajat disiasat JAIS berhubung video yang ditularkannya

USAHAWAN kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau dia yang mahu dikenali dengan nama Nur Sajat disiasat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung video tular membabitkan dia dengan beberapa orang penguat kuasa jabatan agama itu.

Memetik laporan BH Online, JAIS mengesahkan usahawan yang berusia 36 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 10, Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor.

Siasatan dibuat selepas terdapat beberapa aduan yang diterima mengenai perlakuannya pada 2018 dan 2020.

Malah pihak JAIS turut mengambil maklum mengenai video yang ditularkan sendiri oleh usahawan membabitkan insiden dirinya dengan beberapa penguat kuasa JAIS.

“Dia sudah membuat laporan polis berkaitan insiden itu dan pegawai penguat kuasa berkenaan juga dipanggil untuk memberikan keterangan,” kata JAIS dalam kenyataan.

Sebelum ini pendedahan Nur Sajat yang mendakwa dilayan secara tidak wajar oleh penguat kuasa JAIS terhadapnya dilaporkan oleh sebuah portal berita malah beliau turut mendakwa ditahan di Pusat Tahanan Sementara, di Kuala Kubu Bharu pada 6 Januari lalu.

Nur Sajat turut meluahkan rasa kesal dengan tindakan penguat kuasa berkenaan walaupun dia sudah tampil memberikan kerjasama untuk siasatan pihak JAIS.

Beliau juga mendakwa pihak JAIS seolah-olah melengah-lengahkan urusan surat jaminan dan turut menyebabkan kecederaan serta digari sehingga mengalami bengkak di bahagian badan kerana bergelut untuk mempertahankan diri.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button