Nasional

Raja Muda Perlis ajak rakyat Perlis serius patuhi SOP

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengajak seluruh rakyat Perlis supaya mengambil sikap serius dengan sentiasa berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan juga segala perintah yang telah ditetapkan Kerajaan dalam menangani isu Covid-19.

Ianya bertujuan untuk membendung penularan wabak berkenaan sekali gus memutuskan transmisi yang sedang berlaku di negeri ini sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat singgah di Taman Agrovet yang dahulunya dikenali sebagai ‘Taman Agrolancong’ Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perlis di Batu 20 Kg Kok Mak, Jalan Padang Besar.

Keberangkatan baginda ke taman pelancongan berkenaan yang menempatkan kuda, rusa serta burung unta dan boleh dikunjungi oleh orangramai itu adalah bersempena dengan program ‘MAIPs Peduli Kali Ke 4 bagi tahun 2021’ anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang bermula dan berakhir di perkarangan Masjid Othmaniah Kg Kok Mak yang terletak tidak jauh daripada taman haiwan berkenaan.

Pada kesempatan yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra menasihatkan rakyat Perlis yang mempunyai ahli keluarga di luar negeri ini yang terlibat dengan banjir di mana sahaja mereka berada supaya segera pergilah ke tempat tinggi dan elakkanlah dari meredahi arus banjir, jangan menyentuh mana-mana kabel atau wayar yang jatuh serta jangan sekali-kali meminum air banjir.


Bersempena program kali ini Tuanku Raja Muda turut berkenan singgah bagi menyampaikan bantuan agihan zakat MAIPs serta sumbangan ikhlas daripada ahli-ahli  ‘The Red Army Malaysia (Kelab Penyokong Manchester United FC’ yang turut serta mengambil bahagian kepada tiga buah keluarga asnaf terpilih daripada kalangan anak kariah masjid berkenaan.

Ketika berada di Perlis selama dua hari tersebut, wakil-wakil daripada ‘The Red Army Malaysia itu tidak melepaskan peluang untuk melawat beberapa lokasi pelancongan menarik di negeri ini termasuklah Santuari Ikan Air Tawar, Kebun Serai Qasem di Bukit Chabang, Tasoh Lake Resort, Kangar Street Art 2.0, Rumah Warisan Arau, Kg Seberang Ramai Kuala Perlis, Galeri DiRaja Arau dan juga Pasar Terapung Kangar.

(Visited 230 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button