Nasional
Nur Farah Kartini hilang sejak Rabu ditemukan maut
NUR Farah Kartini Abdullah, wanita yang dilaporkan hilang sejak Rabu minggu lalu lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan, ditemukan maut.
Mayatnya ditemukan dalam sebuah Ladang Kelapa Sawit, Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, jasad mangsa yang berusia 25 tahun itu ditemukan pada pukul 6 petang Isnin, dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.
“Sehubungan itu, polis telah melakukan tangkapan ke atas seorang lelaki yang juga penjawat awam berusia 26 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.
Polis menerima laporan berhubung kehilangan Nur Farah Kartini berasal dari Sarawak yang juga bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 1.56 pagi, 10 Julai lalu.
Kali terakhir wanita berkenaan dilihat, dia memakai pakaian korporat berwarna biru, bertudung dan mengenakan seluar slack hitam. – SM