Ekonomi

Nilai Dagangan terkini M’sia-Thailand USD23.64 bilion – PM

Separuh dari ‘border trade’

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan, nilai dagangan terkini (2021) antara Malaysia dengan Thailand berjumlah USD23.64 bilion (RM99.48) bilion.

Ismail Sabri berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak USD10.5 bilion (RM44.18 bilion) adalah disumbangkan melalui perdagangan di sempadan (‘border trade’).

Sehubungan itu, beliau menyifatkan penubuhan Perlis Inland Port (PIP) amat tepat pada masanya bagi merancakkan lagi perdagangan dengan Thailand.

Malah dengan mewujudkan nilai tambah kepada projek-projek strategik di NCER iaitu Chuping Valley Industrial Area (CVIA), Chuping Agro Valley (CAV), NCER Agribio Economic Zone (NAEZ), dan Perlis Super Fruits Valley memang sangat bertepatan, katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Projek Pembangunan PIP di Chuping Valley Industrial Area (CVIA), Padang Besar, hari ini.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan melancarkan Projek Pembangunan PIP di CVIA.

Berkenan hadir Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.

Ismail Sabri berkata, dengan kedudukan Perlis yang strategik dari segi geografi iaitu berdekatan sempadan Malaysia-Thailand memberi kelebihan untuk memanfaatkan pelbagai peluang ekonomi dan perniagaan dalam perniagaan rentas sempadan.

“PIP mencerminkan momentum pertumbuhan dan kemajuan ekonomi Perlis yang dipacu oleh sektor pertanian moden dan pintar serta pembuatan bernilai tinggi,” ujar beliau.

Katanya lagi, ini akan menarik pelaburan baharu dengan penyediaan kemudahan logistik yang lengkap dan kos pengangkutan yang berpatutan bagi pelabur-pelabur di CVIA.

“Dengan pelancaran PIP, CVIA juga dijangka bakal mentransformasikan Perlis dan ekonomi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) menerusi peningkatan pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan dan ini dapat mengurangkan migrasi keluar rakyat tempatan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, walaupun baharu dilancarkan, CVIA telah berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM4.5 bilion yang bakal menjana hampir 12,000 peluang pekerjaan.

Sehubungan itu katanya, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) akan terus meningkatkan sistem hubungan pengangkutan yang bersepadu dengan infrastruktur pengangkutan dan logistik yang holistik, membolehkan PIP mempertingkatkan daya tarikan pelabur ke NCER.

Beliau berkata, Perlis juga sedang berada di trajektori peningkatan dalam pertumbuhan ekonomi pasca-pandemik.

“Ini dapat dilihat menerusi kenaikan jumlah dagangan melalui negeri Perlis pada tempoh Januari hingga Disember 2021 iaitu sebanyak RM7.9 billion berbanding RM5.4 billion pada tempoh yang sama tahun 2020,” kata Ismail Sabri.

Setelah sekian lama dikenali sebagai negeri yang berteraskan pertanian, kata Perdana Menteri, Perlis kini bersedia mengorak langkah ke arah transformasi menjadikannya negeri berasaskan perindustrian moden dengan projek-projek strategik berimpak tinggi seperti PIP dan CVIA. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button