Baru-baru ini, sembilan anggota polis ditahan bagi membantu siasatan dakwaan peras ugut terhadap seorang ahli perniagaan yang berusia 32 tahun.
Ahli perniagaan yang dikaitkan dengan kes dadah itu membuat laporan pada 26 Julai lalu dan sembilan anggota terbabit ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.
Menurut Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi, sembilan yang terlibat adalah anggota polis yang terdiri daripada pangkat konstabel hingga sub inspektor namun nasib ke atas ahli perniagaan disyaki berkait dengan kes dadah itu belum didedahkan mana-mana media setakat ini.
Yang jelas, Datuk S Sasikala Devi dalam satu kenyataannya kepada media baru-baru ini adalah sembilan anggota polis terbabit akan ditukarkan ke Sabah dan Sarawak.
Dalam masa sama, siasatan terperinci mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan (kesalahan peras ugut) dan siasatan tatatertib akan terus dilaksanakan seperti biasa.
Walau bagaimanapun, rata-rata netizen tidak berpuas hati dengan tindakan ke atas sembilan anggota polis yang terlibat kerana ditukarkan ke Sabah dan Sarawak.
Selain memberi persepsi awam bahawa Sabah dan Sarawak kononnya tempat buangan penjawat awam yang bermasalah, netizen risau ahli perniagaan yang berkait dengan kes dadah di kedua-dua negeri tersebut mungkin mengalami trauma sekiranya berdepan dengan situasi peras ugut seperti di Gombak.