Netflix bakal siarkan dokumentari Blackpink
TIDAK boleh dinafikan, kumpulan K-Pop Blackpink kini sedang menguasi dunia muzik antarabangsa dengan peminat yang cukup ramai di seluruh dunia.
Disebabkan populariti itu juga, satu dokumentari khas akan ditayangkan di Netflix pada 14 Oktober yang berjudul Blackpink: Light Up The Sky.
Dokumentari yang diarahkan oleh Caroline Suh dan diterbitkan oleh RadicalMedia itu akan menyelitkan sesi temubual bersama anggota Blackpink iaitu Jisoo, Jennie, Rose dan Lisa.
Dokumentari itu juga akan memaparkan kehidupan anggota Blackpink bermula daripada menjadi seorang pelatih sehinggalah mencapai populariti di peringkat antarabangsa hingga kini.
Menariknya, penonton juga bakal dibawa untuk menyaksikan persiapan Blackpink ke pentas festival muzik terbesar iaitu Coachella pada tahun 2019.
Blackpink adalah satu-satunya kumpulan K-Pop setakat ini yang dijemput untuk membuat persembahan di festival muzik tersebut.
Selain itu, peminat Blackpink juga berpeluang untuk melihat sendiri proses pembikinan album terbaharu kumpulan tersebut yang berjudul The Album.
Album itu bakal dikeluarkan pada 2 Oktober depan. -SM