Negeri

Nelayan kecewa tuntut ganti rugi tidak diendahkan

MELAKA 21 Jan. – “Nak tuntut ganti rugi pun payah bukan mahal cuma RM2,000,” keluh seorang nelayan pesisir pantai dari Kampung Hailam, Pantai Kundor dekat sini.

Nur Muhammad Azri Mustapah, 32, melahirkan rasa kecewa sikap acuh tidak acuh pemilik sebuah kapal dagang terbabit dan syarikat Tanjung Bruas Port Sdn. Bhd. yang mengendalikan Pelabuhan Tanjung Bruas dekat sini berhubung tuntutan ganti rugi tersebut.

Menurutnya, walaupun laporan telah dibuat di Jabatan Laut Pantai Puteri dan di Balai Polis Tanjong Kling, namun tidak ada sebarang tindakan mampu diambil.

Katanya, dalam kejadian pukul 3.30 petang 17 Januari lalu, sebuah kapal dagang Talisker Monrovia telah melanggar pukat hanyut yang dipasangnya menyebabkan 10 daripada 40 keping pukat itu rosak dan tidak boleh digunakan.

“Saya memasang pukat dari Pulau Upeh dan akan berhanyut sehingga LNG Petronas kerana itu adalah laluan semua nelayan dari sini untuk menangkap ikan.

“Sewaktu pukat melalui hadapan Pelabuhan Tanjung Bruas kebetulan sebuah kapal dagang ingin memasuki pelabuhan itu, saya telah beri amaran kepada kru dan kapten agar ubah haluan atau setidak-tidaknya perlahankan kapal.

“Tetapi amaran itu tidak diendahkan langsung. Sebaliknya kapal itu terus melanggar pukat dan rosak hingga saya tidak dapat mencari rezeki langsung petang itu,” ujarnya.

Lebih mengecewkan Nur Muhammad Azri, pukat yang rosak itu baru dibelinya dengan harga RM4,000 dan pertama kali digunakan menangkap ikan pada hari kejadian yang menimpanya.

Katanya, hidup nelayan ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ mana mampu hendak mencari RM2,000 untuk mengantikan pukat yang rosak.

“Saya sudah habis ikthiar dengan sikap pihak terbabit. Sebaliknya, saya pula dipersalahkan kerana memukat di kawasan yang mereka dakwa milik Tanjung Bruas Port Sdn. Bhd.

“Tak kan kawasan laut tidak jauh dari pelabuhan milik kekal syarikat tersebut? Saya pun naik pelik tetapi inilah hakikat nelayan seperti saya ditindas,” ujarnya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button