Nasional

Negeri Sembilan temani Manchester United ke gua, trauma dengan angka 7?

Impian Negeri Sembilan FC untuk melakar kemenangan pertama musim ini tidak kesampaian apabila dibelasah Johor Darul Ta’zim ( JDT), 7-0, dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini malam tadi.

Kemenangan besar itu menyaksikan pelawat melebarkan penguasaan mereka apabila mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dan sekali gus kembali menerajui carta liga.

Dalam aksi berkenaan seawal minit ketiga lagi penjaga gol tuan rumah, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman sudah diuji jentera serangan JDT apabila bola lorongan Corbin Ong hampir membuahkan hasil jika Diogo Luis Santo tidak terlewat untuk meletakkan bola ke gawang.

Tiga minit kemudian tandukan Leandro Velazquez berjaya ditepis Sikh Izhan.

Sikh Izhan sekali lagi menyelamatkan gawang Negeri Sembilan apabila percubaan Leandro dari dalam kotak penalti tepat kedakapannya.

Usaha berterusan pemain skuad Harimau Selatan untuk mendapatkan gol akhirnya menjelma menerusi Fernando Foresteiri pada minit ke-20.

Pemain import itu menanduk bola tendangan bola mati yang diambil Leandro, untuk JDT mendahului 1-0.

Juara Piala Sumbangsih itu terus dilihat mendominasi permainan dengan gerakan pantas dan melakukan serangan dari bahagian kiri dan kanan pasukan Negeri Sembilan.

Hanya satu percubaan terbaik yang mampu dijelmakan anak buah K Devan menerusi Casagrande pada minit ke-34, namun percubaan dari jarak kira-kira 25 meter pemain dari Brazil itu sekadar melepasi palang gol.

Disebalik usaha kebangkitan yang cuba dipamerkan skuad Hobin Jang Hobin, JDT melebarkan lagi jurang menerusi gol kedua dijaringkan Diogo pada minit ke-40 untuk meletakkan pelawat di depan pada separuh masa dengan 2-0.

Lima minit sebaik separuh masa kedua bermula, gawang Negeri Sembilan bolos lagi menerusi gol ketiga sepakan penalti diambil Forestieri, susulan Ariff Aiman dijatuhkan dalam kotak penalti.

Ariff turut mencetak nama sebagai penjaring apabila menjaringkan gol keempat selepas mudah menolak masuk bola ke gawang hasil lorongan Diogo pada minit ke-48.

JDT terus memberi tekanan terhadap Negeri Sembilan apabila menjaringkan gol kelima melalui Corbin pada minit ke-66 disusuli gol keenam melalui Endrick dos Santos pada minit ke-71 dan gol ketujuh oleh Corbin minit ke-87.

Usaha Negeri Sembilan untuk menyekat kemaraan JDT jelas sukar apabila keputusan 7-0 itu kekal sehingga wisel penamat sekali gus mengecewakan 15,427 penyokong pasukan itu yang hadir memberikan sokongan.

(Visited 117 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button