Rencah Hidup

Nasib bekas kakitangan Utusan Melayu dibuang kerja: Tiga tahun, habuk pun tarak!

PAGI tadi hujan turun seolah-olah merestui himpunan bekas petugas Utusan Melayu yang dibuang kerja apabila syarikat Kumpulan Utusan Melayu (M) Bhd menutup operasinya pada 9 Oktober 2019.

Selepas tarikh penutupan operasi, nasib bekas kakitangan Utusan Melayu tidak mendapat pembelaan daripada mana-mana pihak.

Dalam erti kata lain, apabila Utusan Melayu ‘pelingkup’, mampuih pi la bekas kakitangan Utusan Melayu yang kehilangan pekerjaan dalam sekelip mata.

Tempoh perkhidmatan yang bukan berbelas tahun tetapi juga berpuluh tahun tidak menjamin ganjaran yang setimpal sebagaimana yang diharapkan.

Demi meneruskan kehidupan, masing-masing mencari kerja yang sesuai dengan faktor usia, bukan lagi bersandarkan kepada kemahiran dan pengalaman dalam bidang media.

ASBO (asal boleh)! Apa sahaja pekerjaan yang boleh memberi rezeki secara halal untuk isteri dan anak-anak di rumah, itulah yang dikerjakan oleh lebih 800 kakitangan Utusan Melayu (the last men standing) yang berkhidmat dengan syarikat persuratkhabaran tertua negara sehingga ke saat terakhir.

Ya, saat terakhir apabila pada 9 Oktober 2019 bersamaan dengan hari Rabu, kami dipanggil oleh Pengarang Kanan Berita, diberikan surat pada pukul 1 tengah hari dan diminta mengosongkan bangunan Ibu Pejabat Utusan di Jalan Utusan sebelum pukul 6 petang.

Jika gagal berbuat demikian, selepas pukul 6 petang, pintu pejabat dikunci dan kelam kabutlah kakitangan mengemas barangan masing-masing untuk memastikan meninggalkan ruang pejabat sebelum pukul 6 petang.

Itulah peringatan yang bekas kakitangan Utusan Melayu rasai yang mana, sebelum dihalau secara terhormat, pernah seluruh kakitangan Utusan Melayu bekerja selama tiga bulan tanpa dibayar gaji.

Benar, tiga bulan tidak dibayar gaji, surat khabar tetap dicetak, tetap diedar, Utusan Online tetap beroperasi seperti biasa dengan pelbagai talk show termasuk Mornink Blues, Jom Chat, Busking Bersama Buskers dan Sembang Online.

PERJUANGAN walaupun ramai bekas kakitangan Utusan Melayu yang kesihatannya tidak berapa baik, turut hadir di himpunan Reunion Utusan hari ini.

Mungkin pihak pengurusan atasan sudah tahu lebih awal lagi bahawa syarikat akan bungkus, gulung tikar dengan pelbagai alasan dimomok-momokkan kepada para kakitangan pada ketika itu.

Pastinya faktor penutupan Utusan Melayu berkait rapat dengan kewangan. SETIAP TAHUN UTUSAN MELAYU RUGI. Tidak membawa sebarang keuntungan.

Jual paper, buat online, cari iklan, buat supplement… (sekadar menyebut beberapa perkara yang dilakukan) diusahakan bagi memastikan akhbar keramat orang Melayu ini terus hidup.

Setiap kali pilihan raya, akhbar Utusan Malaysia menjadi keldai tunggangan ahli-ahli politik yang bertanding untuk menang kerusi masing-masing.

Apabila pihak pembangkang pada ketika itu, sewaktu Barisan Nasional (BN) sebagai Kerajaan, Utusan Melayu dilemparkan dengan kata-kata, akhbar barua UMNO, akhbar rasis dan macam-macam kata-kata hina dilemparkan termasuk UTUSAN MELOYA.

Ini kenyataan, ini hakikat, ini yang kami bekas kakitangan Utusan Melayu lalui dan bukan omongan kosong.

Langkah menyelamatkan kakitangan Utusan Melayu yang nyawanya berada di hujung tanduk, ditawarkan VSS. Wah! Bunyinya gah. Ya, tawaran VSS kepada kakitangan Utusan Melayu.

Apabila ramai yang mengambil tawaran VSS, mungkin dalam hati, dapat menyelamatkan rakan-rakan lain dalam Utusan Melayu yang masih berkhidmat untuk terus berkhidmat.

Ambil tawaran VSS, dapat bantu beban kewangan syarikat, kononnya!

Tawaran VSS oleh syarikat amat luar biasa sebab bayaran dibuat secara ANSUR-ANSUR, bukannya duit VSS itu diberi secelepuk!

Bayar ANSUR-ANSUR untuk tempoh 12 bulan bersamaan dengan setahun. Itulah yang ditawarkan oleh syarikat, belum lagi cara perkiraan yang memang membuatkan “ALOYAH MUSYKIL”.

Ringkasnya, perkiraan A, perkiraan B, ambil yang mana LEBIH RENDAH. Termangu fikir sejenak tetapi ramai yang ambil juga tawaran VSS itu.

Bulan pertama, dapat bayaran, bulan kedua, dapat bayaran, mungkin bulan ketiga juga dapat bayaran. Masuk bulan keempat, SUNYI SEPI.

Bulan kelima, bayangan bayaran tidak ada sehinggalah ke hari ini. Itulah kelompok bekas kakitangan Utusan Melayu yang menerima tawaran VSS. Ganjil, pelik tapi benar.

Apa lagi usaha dan daya yang mampu dilakukan oleh lebih 800 bekas kakitangan Utusan Melayu, kelompok THE LAST MEN STANDING mampu buat?

Yang duduk di bawah union, union pasang lawyer. Kumpulan eksekutif, ada yang guna khidmat peguam, jabatan-jabatan lain pun sama dan DASAR PECAH DAN PERINTAH diamalkan oleh penlikuidator yang dilantik.

Tiada PAMPASAN kerana dalam Akta Pekerja, Akta Buruh, segala akta, tidak ada bayaran pampasan untuk bekas kakitangan Utusan Melayu yang diberhentikan kerja.

Semua melopong, semua ternganga. Kes ini dibawa ke Mahkamah oleh kumpulan di bawah union. Keputusan kes, tunggulah. Tapi di peringkat Mahkamah Rayuan kerana permohonan tuntutan – DITOLAK OLEH MAHKAMAH.

Mahkamah di dunia nyata keputusannya dan bekas majikan, Pengerusi Eksekutif yang pernah duduk dalam Kumpulan Utusan Melayu (M) Bhd sudah ghaib.

Lebih 10 bekas kakitangan Utusan Melayu telah meninggal dunia dalam tempoh tiga tahun syarikat gulung tikar.

Lebih 20 bekas kakitangan Utusan Melayu yang sakit, sakit kronik, tak dapat mencari pekerjaan lain yang lebih sesuai kerana faktor usia dan kesihatan.

Bukan hidup melarat atau merempat tetapi penganiayaan yang dirasai oleh seluruh bekas kakitangan Utusan Melayu yang pernah berkhidmat, mencurahkan bakti, jangan cakaplah culas, curi tulang dan sebagainya, SAMA SAHAJA – KOSONG.

Suatu ketika Utusan Melayu pernah jadi syarikat yang bela biawak hidup dan cicak-cicak di bawah untuk meneruskan kehidupan, usahalah sendiri, carilah makan sendiri, carilah kerja yang boleh dilakukan.

Jangan pandang Utusan baru sekarang, tetapi pengkisahannya ialah Utusan Melayu dahulu.

Hidup mesti diteruskan, kita jalan terus dan insya-Allah, yang menganiaya bekas kakitangan Utusan Melayu, kita sama-sama doakan agar mereka diberi keampunan sebelum malaikat merentap nyawa mereka! – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button