Nasi ulam Perlis jadi pilihan dibuat secara gotong royong
NASI ulam di Perlis bukan sahaja agak unik malah munculnya hanya di bulan Ramadan. Jadi jangan cuba-cuba nak mengidam nasi ulam di luar bulan mulia ini kerana setakat ini ia tidak minat dikomersialkan.
Peniaga kurang minat membuat nasi ulam kemungkinan sukar memperoleh pelbagai jenis daun yang merupakan ramuan utamanya. Ini kerana lagi banyak jenis daun yang digunakan maka akan bertambah sedaplah nasi ulam tersebut.
Ini kerana wangian dari dedaun ini akan keluar setelah dihiris halus sebelum digaul bersama nasi putih. Dikatakan juga semua jenis daun yang digunakan ini pula mempunyai banyak khasiat untuk tubuh badan.
Atas sebab itu menerusi program Sentuhan Kasih Bersama Ibu Tunggal yang dianjurkan oleh Persatuan Kebajikan Wanita Wang Bintong memilih untuk membuat nasi ulam Perlis secara bergotong-royong.
Pengerusinya Rosmuna Ibrahim berkata, beliau mahukan supaya nasi ulam ini terus menjadi kegemaran tidak kira tua atau muda.
“Makanan tradisional ini juga sebenarnya dibuat secara bergotong-royong oleh kalangan wanita pada bulan Ramadan sejak zaman dahulu lagi,” ujarnya pada majlis itu yang diadakan di kediamannya di Kampung Jarak, Bintong, dekat Kangar.
Beliau berkata, semua yang hadir pada program ini diminta membawa daun ulam dari rumah masing-masing supaya dapat dikumpul dalam pelbagai jenis.
Antara jenis ulam yang digunakan termasuk daun beluntas, sekentut, pucuk janggus, mengkudu, ulam raja, selom, kaduk, putat, cekur, bayam brazil, bunga kantan dan dan juga pegaga kampung.
Untuk melengkapkan rasa, ditambah dengan serai, halia, bawang, ikan talang masam yang digaul terlebih dahulu sebelum dimasukkan nasi.
Sebagai pelengkap kepada nasi ulam ini, ia perlu dimakan dengan sayur keladi.
Program ini juga diselikan dengan pertandingan memasak iaitu masak lemak labu, sambal udang dan pajeri nanas.
Nasi ulam, sayur keladi dan masakan yang dipertandingkan ini kemudiannya menjadi hidangan untuk makan tengah hari pada ahli yang hadir.
Sebelum program berakhir, Rosmuna juga menyampaikan sumbangan berupa telur, tepung, gula dan bihun untuk 35 ibu tunggal selain hadiah untuk pemenang masakan dan ahli jawatankuasa (AJK) yang bertungkus lumus menjayakan majlis ini.
Beliau berkata, ini merupakan program kedua yang dilaksanakan setelah menerima geran sebanyak RM10,000 daripada Malaysian Incentive Community Enpowerment (MICE) yang diterima persatuan semasa pelancaran Hari Keluarga Malaysia peringkat negeri Perlis baru-baru ini.
Katanya, keahlian persatuan ini kini mencapai 300 orang dan hanya menggenakan yuran serendah RM3 sebulan. – SM