NegeriRencah Hidup

Nasi lemak gulai udang disaji percuma, kutip pahala hari Jumaat

UNTUNGNYA penduduk yang tinggal di sekitar kawasan Bintong Selatan, Kangar, Perlis kerana di Wakaf Hajah Sofiah, setiap pagi Jumaat, nasi lemak gulai udang sudah menunggu untuk diberikan secara percuma.

Rosmuna Ibrahim menunjukkan nasi lemak gulai udang percuma siap dibungkus untuk diagihkan dan tabung yang ingin bersedekah.

Kalau ada yang tinggal sedikit jauh daripada lokasi Wakaf Hajah Sofiah, kenalah rajin bergerak untuk datang mengambil nasi lemak gulai udang.

Begitulah kehidupan yang dilalui sehari-harian oleh masyarakat di sekitar Bintong Selatan yang mana kalau tinggal di bandar-bandar besar seperti kota metropolitan, mana nak merasa nasi lemak gulai udang.

Antara yang datang untuk mengambil nasi lemak gulai udang percuma di Wakaf Hajah Sofiah di Kampung Jarak, Bintong, Perlis

Sedap dan percuma pula tu. Makanlah seberapa banyak pun tetapi kalau ikut suna Nabi, berhentilah makan sebelum kenyang.

Sambil itu, bolehlah hulurkan sedekah pada tabung yang disediakan supaya nasi lemak gulai udang yang disajikan secara percuma ini dapat dilakukan secara berterusan pada masa akan datang.

Sambil ambil nasi gulai udang percuma, boleh bersedekah

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bintong Selatan, Rosmuna Ibrahim ketika ditemui wartawan SUARA MERDEKA memberitahu, idea menyediakan nasi lemak gulai udang adalah menerusi  “Sedekah Subuh dan Sedekah Jumaat”.

“Pejam celik, setahun juga diamalkan nasi lemak gulai udang percuma ini.

“Tak sangka pula, idea bersedekah nasi lemak gulai udang setiap Jumaat ini yang pada mulanya dilakukan untuk arwah ibu dan ayah saya turut disokong oleh mereka yang sama-sama ingin bersedekah,” katanya di rumahnya di Kampung Jarak, Bintong.

Beliau berkata, lebih kurang 110 bungkus nasi lemak gulai udang diagih-agihkan pada setiap pagi Jumaat.

Rosmuna berkata, beliau memilih nasi lemak gulai udang untuk disedekahkan kerana ia adalah makanan kegemaran arwah ibunya, Hajah Sofiah.

Bagaimanapun, beliau menambah satu jenis lauk lagi iaitu sambal sotong kering berikutan semakin ramai yang menyumbang untuk bersedekah.

Setakat ini, katanya, ada dua sesi sedekah di mana nasi lemak gulai udang disediakan untuk sarapan para jemaah di surau berdekatan selepas solat Subuh.

Jemaah surau berdekatan Wakaf Hajah Sofiah di Bintong Selatan menikmati nasi lemak gulai udang.

“Alhamdulillah, jemaah dari surau ini akan datang untuk makan di Wakaf Hajah Sofiah. Nasi lemak udang untuk orang ramai pula diedarkan mulai pukul 7.30 pagi sehingga habis,” katanya.

Aktiviti amal yang dilakukan ini, kata beliau, memberikan satu keseronokkan kepadanya kerana setiap hari Jumaat, beliau dapat berjumpa dengan rakan-rakan baik arwah emaknya kerana mereka akan datang untuk makan nasi lemak gulai udang.

“Ia sekadar untuk menggembirakan hati kawan-kawan dan jiran tetangga yang rapat dengan mak sekaligus mereka tidak merasa disisihkan oleh anak-anak arwah,” jelasnya.

Sementara itu, salah seorang warga emas, Midah Mat, 86, akan datang bersarapan nasi lemak gulai udang di Wakaf Hajah Sofiah pada setiap Jumaat.

Midah Mat seronok menikmati nasi lemak gulai udang setiap Jumaat.

“Memang teringat sangat pada arwah Hajah Sofiah yang suka nasi lemak gulai udang,” katanya yang datang secara berjalan kaki sahaja kerana jarak antara Wakaf Hajah Sofiah dengan rumahnya hanya kira-kira 200 meter sahaja.

Beliau akui, merasa seronok dapat berkumpul beramai-ramai sambil menikmati nasi lemak gulai udang yang kini sukar ditemui.

Al-Fatihah buat kedua ibu dan ayah Rosmuna serta kedua orang tua kita yang telah tiada. Moga Allah SWT cucuri rahmat ke atas roh para arwah. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button