Nasional

UPSI lancarkan Wellness Centre

PUSAT Kesejahteraan Universiti Pendidikan Sultan Idris (Wellness Centre UPSI)  dilancarkan Exco Pendidikan Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Negeri Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud di Fakulti Pembangunan Manusia  (FPM), Kampus Sultan Azlan Shah.

Beliau turut melancarkan perkhidmatan kaunseling menggunakan pelantar aplikasi digital yang dicapai menggunakan laman sesawang yang bermanfaat untuk komuniti setempat.

Menurut beliau inisiatif yang diambil oleh UPSI amat bertepatan dengan falsafah pendidikan yang berfokuskan kepada pembangunan manusia pada hari ini.

“Jika kita perhatikan terdapat segelintir warga masyarakat hari ini menghadapi pelbagai kesulitan dan pelbagai tekanan hidup berdepan dengan situasi pasca Covid-19.

“Menerusi pendekatan secara holistik daripada UPSI sekaligus membantu masyarakat untuk mendapatkan khidmat rundingan terbaik, sesuai dengan ledakan revolusi 4.0 dan teknologi 5G menjadikan UPSI antara universiti awam yang memacu kepada perubahan tersebut dari segi interaksi, urusniaga, kesihatan dan kesejahteraan sejagat,” jelasnya ketika menyampaikan ucapan perasmian pelancaran di sini.

Wellness Centre UPSI yang dibangunkan oleh sekumpulan sukarelawan dan  tenaga pengajar Jabatan Psikologi dan Kaunseling, sejak tahun 2012 itu membabitkan pelbagai latihan berkaitan kesejahteraan dan kaunseling untuk pelajar dengan modul praktikum dan praktikal selain memberi sesi kaunseling kepada individu mahupun kumpulan berkelompok.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, platform digital sehenti Pusat Kesejahteraan UPSI terdiri daripada lapan buah aplikasi dalaman iaitu sistem infak, tempahan khidmat rundingan kaunselor, Sistem Pengurusan Kesejahteraan (Well-Manage System), Capaian Sumber Inovasi pintar dan Akademik (E-Innovation & Academic Resources), Sistem Tempahan Ruang, Sistem Daftar Pengurusan Acara, Sistem Pengurusan Fail dan sistem jualan makanan (Wellness Coffee).

“Sistem-sistem ini dihasilkan oleh pelajar UPSI sendiri dan membuktikan bahawa modal insan UPSI mampu membawa UPSI seiring dengan keperluan era semasa.

“Bukan itu sahaja, Wellness Centre UPSI telah menyumbang peranan dalam memberi latihan dan perkhidmatan sokongan kepada warga UPSI yang terdiri daripada warga staf dan pelajar,” jelasnya.

Menurut Md Amin lagi, seramai 50 orang kaunselor pelatih yang telah menjalankan latihan industri di Wellness Centre dan telah mengendalikan pelbagai rencam antaranya 500 kes kaunseling indvidu, 300 kes kaunseling kelompok dan 100 program berkaitan.

“Melalui sistem laman web yang dibangunkan ini sekaligus meningkatkan latihan serta perkhidmatan kaunseling dan kesihatan mental secara pintar dan optimum serta menyasarkan untuk menjadi peneraju pusat kesejahteraan di tanahair,” tambahnya.

Hadir sama ADUN Slim, Mohd. Zaidi Aziz; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Marzita Puteh;  Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman serta Bendahari, Mohamad Najib Mohamed.

Laman sesawang Wellness Centre UPSI boleh dicapai menerusi https://wellnessupsi.com/ – SM

(Visited 390 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button