JenayahNasional

Nak kereta mewah, RM39,000 lesap ditipu urusan jual beli online

Modus Operandi mangsa diberi Toyota Wish

SEORANG pekerja swasta berputih mata apabila wangnya berjumlah RM39,000 lesap begitu sahaja setelah dia diperdayakan dalam urusan jual beli kereta mewah dalam talian (online)

Mangsa dari Bandar Indera Mahkota, Kuantan, Pahang dikatakan tertarik untuk memiliki sebuah kereta mewah jenis Mercedez A45 selepas dia melihat tawaran kereta lelong itu melalui aplikasi Telegram.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt. Mohd Wazir Mohd Yusof, mangsa berhubung dengan penjual kenderaan bernama Fauzi yang mengaku bertugas dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya.

Beliau berkata, suspek membenarkan mangsa, pada Rabu lalu menggunakan sementara kereta jenis Toyota Wish dengan nombor pendaftaran W9741J sebelum kereta Mercedez yang ditempah tiba di Kuantan.

“Selepas menerima kereta Toyota Wish suspek meminta pengadu membuat pembayaran untuk kereta Mercedez A45.

“Dan mangsa membuat bayaran secara perbankan internet tiga transaksi ke dalam akaun atas nama Muhammad Amirul Ekmar sebanyak RM39,000.

“Selepas selesai membuat pembayaran, suspek meminta mangsa menunggu selama dua hari untuk kereta Mercedes A45 tiba di Kuantan,” katanya.

Kata Mohd Wazir lagi, modus operandi kes berkenaan ialah suspek memperdaya mangsa dalam urusan pembelian kereta untuk digunakan sementara bagi meyakinkan mangsa sehingga mendorong mangsa membuat pembayaran.

“Setelah pembayaran dibuat kereta terbabit diambil semula sementara kereta yang dibeli tidak diterima,” jelasnya.

Tambah beliau, mangsa tidak menggunakan kereta Toyota Wish yang disediakan suspek sebaliknya meletakkannya di luar pagar hadapan rumah ibunya.

Menyedari diperdaya selepas mendapati kereta Toyota Wish diberi suspek itu hilang, mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan. – BH-SM

 

(Visited 385 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button